Kebakaran tapak sampah haram di Baling berlarutan hampir 30 jam

Kebakaran tapak sampah haram di Baling berlarutan hampir 30 jam


am@hmetro.com.my

Baling: Kebakaran berlarutan hampir 30 jam di tapak pelupusan sampah haram di Kampung Besah, Mukim Tawar di sini, berikutan cuaca panas dan angin yang menyukarkan operasi pemadaman.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya masih bertungkus-lumus di lokasi bagi mengawal serta memadamkan kebakaran yang membabitkan bahan sisa kering.

Beliau berkata, keadaan cuaca panas terik menyebabkan api mudah merebak, sekali gus menyukarkan usaha pemadaman.

“Operasi pemadaman turut dibantu lori Syarikat Air Darulaman (SADA) selain jentera bomba tanpa henti.

“Bomba melakukan teknik ‘fire break’ untuk memisahkan jarak kebakaran dan kawasan yang belum dijilat api, ” katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkhairi berkata, beberapa wakil agensi seperti SW Corp, Majlis Daerah Baling, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut membantu operasi itu.

“Setakat ini masih terdapat kepulan asap dan api di lokasi, ” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan tapak kebakaran pelupusan sampah haram itu membabitkan bahan buangan domestik dan kilang berhampiran dan operasi ketika itu dilakukan lapan anggota serta dibantu dua anggota dengan jentera tangki air dari BBP Pengkalan Hulu, Perak.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top