Pertahanan bernilai RM323 juta bakal perkuat benteng Liverpool

Pertahanan bernilai RM323 juta bakal perkuat benteng Liverpool


LIVERPOOL dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan kelab Ligue 1, Rennes untuk menandatangani pemain pertahanan tengah, Jeremy Jacquet dengan yuran perpindahan bernilai £55 juta (RM296 juta).

Pemain berusia 20 tahun itu, yang sebelum ini turut menjadi buruan Chelsea, dijadualkan akan berhijrah secara rasmi ke Anfield pada musim panas depan selepas kedua-dua kelab mencapai kata sepakat mengenai yuran tersebut.

Difahamkan, nilai perpindahan itu boleh meningkat sehingga £60 juta (RM323 juta) termasuk bonus tambahan sekali gus bakal menjadikan Jacquet sebagai pemain pertahanan kedua termahal dalam sejarah The Reds selepas kapten pasukan, Virgil van Dijk.

Liverpool beralih arah mendapatkan khidmat Jacquet dalam usaha memantapkan benteng pertahanan mereka selepas gagal memuktamadkan perpindahan Marc Guehi pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas lalu.

Sebaliknya, Crystal Palace bertindak menjual pemain antarabangsa England tersebut kepada Manchester City pada Januari.

Langkah membawa masuk Jacquet dianggap kritikal memandangkan Ibrahima Konate, yang menjadi pilihan utama bergandingan dengan Van Dijk musim ini, bakal tamat kontrak pada musim panas dan Liverpool berisiko kehilangan khidmatnya secara percuma.

Walaupun skuad kendalian Arne Slot itu kini ketandusan pemain pertahanan, Jacquet tidak akan menyertai pasukan dengan segera memandangkan Rennes yang kini menghuni tangga keenam liga sedang berjuang untuk melayakkan diri ke pentas Eropah.

Liverpool kini sedang berdepan krisis kecederaan dengan Giovanni Leoni dan Conor Bradley disahkan terlepas baki saingan musim ini, manakala Jeremie Frimpong pula terpaksa berehat selama beberapa minggu.

Dalam perkembangan lain, Liverpool turut meninjau peluang untuk meminjam Lutsharel Geertruida bagi baki saingan musim ini, namun usaha membawa masuk bek kanan yang pernah beraksi di bawah Slot di Feyenoord itu disifatkan terlalu rumit.

Pemain antarabangsa Belanda itu kini sedang dipinjamkan ke Sunderland dari RB Leipzig dan sebarang perjanjian perpindahan memerlukan persetujuan daripada kedua-dua kelab terbabit.

Ringkasan AI

  • LIVERPOOL dilaporkan telah mencapai persetujuan dengan Rennes untuk menandatangani Jeremy Jacquet dengan yuran £55 juta
  • Jacquet berusia 20 tahun dan dijadualkan untuk berhijrah ke Anfield pada musim panas depan
  • Nilai perpindahan Jacquet boleh meningkat sehingga £60 juta termasuk bonus tambahan
  • Liverpool mengambil langkah mendapatkan Jacquet setelah gagal memuktamadkan perpindahan Marc Guehi
  • Langkah mendapatkan Jacquet dianggap kritikal dengan kontrak Ibrahima Konate yang bakal tamat pada musim panas



Source link

OR

Scroll to Top