Krisis air Sabah: Wujud ‘tangan ghaib orang politik’ arah sabotaj Hajiji – Zulkarnain

Krisis air Sabah: Wujud ‘tangan ghaib orang politik’ arah sabotaj Hajiji – Zulkarnain


KOTA KINABALU – Krisis bekalan air Sabah yang berlarutan sejak Jun lalu dipercayai berpunca daripada ‘tangan-tangan ghaib’ yang didakwa mendapat arahan daripada pemimpin parti politik tertentu untuk mensabotaj pentadbiran Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar mendakwa, tindakan tidak bertanggungjawab itu berlarutan susulan pendedahan Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya sendiri wujudnya unsur sabotaj.

“Kami dapat maklumat, dia (Shahelmey) bagi tahu ada kemungkinan ada orang-orang politik yang menyuruh pihak-pihak tertentu buat sabotaj.

“Bila ada masalah air, dia (pembangkang) akan hentam kerajaan, kita nampak senario ini berlarutan sejak Jun sampai sekarang, setiap tiga minggu mesti ada masalah (air).

“Menteri Kerja Raya Sabah pun mengesahkan insiden ini ada unsur-unsur sabotaj. Kita nak tahu siapa watak utama yang mengarahkannya (sabotaj bekalan air),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar menunjukkan laporan polis berkenaan dakwaan sabotaj bekalan air di negeri Sabah di Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZIL, 01 OKTOBER 2024.

Sebelum ini, media melaporkan sekitar kawasan di Kota Kinabalu hingga Sepanggar termasuk Tuaran, Penampang, Putatan dan Papar mengalami gangguan bekalan air sejak Ahad lalu.

Pada 14 Jun lalu, Shahelmey dilaporkan berkata, insiden itu berlarutan kerana disyaki wujud unsur sabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab kerana beberapa injap paip utama ditutup sedangkan ia tidak boleh diakses orang awam.

Menurut Shahelmey, kejadian paip pecah, kecurian, sambungan haram yang agak begitu tinggi terutama di kawasan Sepanggar turut mengundang gangguan bekalan air.

Datuk Zulkarnain Mahdar

Dalam pada itu, Zulkarnain juga mendapat maklumat daripada orang awam yang isu gangguan bekalan air itu berkemungkinan besar disabotaj pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan pemimpin parti politik negeri di Sabah.

“Tujuan mereka untuk merencat dan mewujudkan persepsi negatif terhadap Kerajaan Negeri Sabah, sebab itu kita tampil membuat laporan polis untuk meredakan kebimbangan orang ramai.

“Sebagai contoh, beberapa hari lepas, Masjid Bandaraya Likas, tiada air, kita dengar daripada cakap-cakap orang awam, adakah ini ada unsur sabotaj lagi? Dikatakan ada satu paip besar pecah.

“Keresahan orang awam perlu ditangani dengan sebaiknya sebab menteri sendiri buat pengesahan bekalan air di Kota Kinabalu ada unsur-unsur sabotaj,” katanya.

Zulkarnain tidak menolak kemungkinan sabotaj itu berlaku selepas tindakan Jabatan Air Negeri Sabah yang memutuskan bekalan air di rumah-rumah setinggan di sini baru-baru ini

“Mereka ini (penduduk rumah setinggan) naik marah, buat sabotaj, pecahkan paip-paip besar. Ada juga kenyataan kita dengar, orang-orang politik kononnya mewujudkan persepsi salah sehingga mereka (penduduk setinggan) pecahkan paip air sehingga mendatangkan masalah,” katanya.

Zulkarnain turut mengulangi pendiriannya isu gangguan bekalan air ini berpunca daripada tindakan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal satu masa dahulu yang memecat enam kontraktor konsesi air ketika pentadbiran Warisan di Sabah.

“Kita tetap konsisten menyokong kenyataan Datuk Seri Hajiji Noor bahawa masalah air ini berpunca rentetan daripada Mohd Shafie Apdal sendiri selepas membatalkan enam syarikat yang menguruskan konsesi air pada 2018.

“Kesan pembatalan itu berlarutan sehingga kini, kontraktor yang dilantik (Warisan) pula bermasalah.

“Sebab itu kita tampil (buat laporan polis) bagi meneruskan siasatan. Sebelum ini kita buat di SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan kali ini kita buat pula di balai polis (Karamunsing) bagi meminta pihak polis membantu kita,” katanya.

Beliau turut menggesa Jabatan Air Negeri Sabah agar membuat laporan yang sama sekiranya wujud unsur sabotaj melibatkan aset dan fasiliti pembekalan air di negeri itu.

“Masalah air bukan perkara main-main, ia membelenggu dan menyusahkan rakyat. Kalau benar wujud unsur sabotaj, ia amatlah mengecewakan sebab mereka perlu dikenakan dengan tindakan yang sewajarnya.

“Pendedahan Menteri Kerja Raya sehingga kini belum ada jawapan konkrit, wujudnya dakwaan sabotaj, mesti ada asas. Menteri tidak akan buat satu kenyataan kalau dia tidak ada bukti kukuh,” tegasnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top