Penganggur tak mengaku aibkan polis

Penganggur tak mengaku aibkan polis



am@hmetro.com.my

Georgetown: Penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan mengaibkan kehormatan anggota polis dalam kejadian di Jalan Thean Teik, Ayer Itam, pada Rabu lalu.

Tertuduh, Goh Weng Keong, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, dia didapati mengaibkan kehormatan Koperal Nik Muhammad Faizal Nik Long, 40, dengan maksud supaya perkataan itu didengar serta mengganggu kesantunan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan perhentian bas Jalan Thean Teik, Ayer Itam dalam daerah Timur Laut jam 6.45 petang pada 2 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Darshini menawarkan jaminan sebanyak RM9,000 dan mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mengganggu mana-mana saksi.

Mahkamah menetapkan tarikh 14 November depan bagi sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Semalam, Harian Metro melaporkan lelaki berkenaan ditahan pada jam 10.30 malam, Rabu lalu susulan tular video dirinya mengeluarkan kata kesat terhadap anggota polis.

  Dia dipercayai bertindak demikian kerana berang apabila disaman polis terbabit kerana kesalahan lalu lintas.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top