Munich: Luis Diaz tampil cemerlang dengan hat-trik manakala Harry Kane meledak dua gol menerusi sepakan penalti ketika Bayern Munich membelasah Hoffenheim 5-1 untuk kembali melebarkan jurang enam mata di puncak Bundesliga, awal pagi tadi.
Kemenangan bergaya di Allianz Arena itu menyaksikan juara bertahan mengumpul 54 mata selepas 21 perlawanan, meninggalkan Borussia Dortmund di tangga kedua, walaupun pencabar terdekat itu menang 2-1 ke atas Wolfsburg.
Hoffenheim berdepan detik sukar seawal minit ke-17 apabila Kevin Akpoguma dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Diaz di dalam kotak penalti, sekali gus menghadiahkan sepakan penalti kepada Bayern yang disempurnakan Kane pada minit ke-20.
Bagaimanapun, pasukan pelawat yang kekurangan seorang pemain masih mampu menyamakan kedudukan apabila Andrej Kramaric menjaringkan gol hasil kesilapan penjaga gol veteran Bayern, Manuel Neuer, untuk menjadikan kedudukan 1-1.
Bayern kembali di depan di penghujung babak pertama apabila Kane sekali lagi tenang menyudahkan sepakan penalti, gol ke-24 beliau dalam liga musim ini, sebelum pemain England itu mencipta peluang buat Diaz menjaringkan gol ketiga Bayern ketika masa kecederaan separuh masa pertama.
Diaz meneruskan malam gemilangnya dengan menambah gol keempat Bayern pada minit ke-62 hasil hantaran Michael Olise, sebelum melengkapkan hat-trik pada minit terakhir perlawanan menerusi rembatan kemas menewaskan Oliver Baumann.
Hoffenheim yang kekal di tangga ketiga dengan 42 mata gagal bangkit dan rekod lima kemenangan berturut-turut mereka dalam liga akhirnya terhenti.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany, memuji ketajaman jentera serangan pasukannya selepas perlawanan.
“Mereka tidak pernah berhenti. Walaupun permainan jadi perlahan seketika, mereka akan kembali menyerang. Mereka sentiasa lapar untuk menjaringkan gol,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






