Chattanooga, Amerika Syarikat: Pertahanan Sepanyol, Aymeric Laporte berkata juara Eropah itu perlu berwaspada dengan kebangkitan Uruguay yang dijangka memberi tekanan besar dalam usaha mereka mengelak penyingkiran awal Piala Dunia.
Kedua-dua pasukan akan bertemu di Guadalajara pada Jumaat dengan Sepanyol hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu mata untuk mengesahkan tempat teratas Kumpulan H.
Kekalahan hampir pasti akan menyingkirkan Uruguay selepas mereka sekadar mencatat keputusan seri dengan Arab Saudi dan Cape Verde dalam dua perlawanan awal.
Sepanyol sebelum ini gagal menembusi pertahanan Cape Verde dalam keputusan seri 0-0 namun kembali bangkit dengan kemenangan besar 4-0 ke atas Arab Saudi.
“Saya percaya mereka akan turun habis-habisan sama seperti kami jika berada dalam situasi mereka.
“Itu kebiasaan bagi pasukan juara terdahulu yang mahu mara ke peringkat kumpulan. Tetapi nasib kami di tangan sendiri.”
“Kami tahu apa perlu dilakukan, kami sangat bermotivasi untuk menamatkan peringkat kumpulan dengan baik dan kedua-dua pasukan akan beraksi habis-habisan,” kata Laporte pada sidang media.
Laporte bakal berdepan bekas jurulatihnya, Marcelo Bielsa yang pernah memberi debut kepadanya ketika di Athletic Bilbao.
Dalam Piala Dunia ketiganya bersama tiga negara berbeza, Bielsa sebelum ini dikritik kerana didakwa tidak membina hubungan rapat dengan pemain sejak mengendalikan Uruguay.
Namun Laporte tetap memberikan pujian kepada jurulatih dari Argentina itu.
“Beliau memberikan debut kepada saya dan kami bertemu semula di England.
“Kami banyak berbual dan saya hanya boleh berterima kasih atas apa yang beliau lakukan untuk saya,” kata Laporte dalam sidang media.
© New Straits Times Press (M) Bhd






