Pelancongan domestik suku pertama 2026 raih RM34 bilion

Pelancongan domestik suku pertama 2026 raih RM34 bilion


PETALING JAYA: Sektor pelancongan domestik negara mencatatkan prestasi luar biasa pada suku pertama tahun ini apabila jumlah perbelanjaan melonjak 15.8 peratus mencecah RM34 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pertumbuhan dua digit itu didorong oleh peningkatan drastik aktiviti perjalanan serta pertambahan purata perbelanjaan bagi setiap pelawat di dalam negara.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bagi asas suku ke suku, jumlah perbelanjaan pelancong tempatan turut meningkat 4.5 peratus sekali gus memberi indikasi daya tahan berterusan dalam aktiviti ekonomi berkaitan.

“Jumlah pelawat domestik bagi suku pertama 2026 merekodkan seramai 74.7 juta orang, iaitu peningkatan sebanyak 7.2 peratus tahun ke tahun.

“Pertumbuhan ini sebahagian besarnya dipacu oleh pergerakan pelancong semasa musim perayaan dan cuti umum yang panjang termasuk perayaan Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri. Tempoh ini merangsang aktiviti mengunjungi saudara-mara serta percutian keluarga di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut Mohd Uzir, indikator utama lain turut mencatatkan trend positif tahun ke tahun. 

“Ini termasuklah peningkatan trafik lebuh raya sebanyak 1.0 peratus, jualan runcit bahan api (naik 8.0 peratus) dan ketibaan penumpang udara domestik (naik 9.6 peratus) yang mencerminkan mobiliti tinggi dalam kalangan rakyat.

“Limpahan ekonomi itu turut memberi impak langsung kepada sektor penginapan negara yang menyaksikan hasil keseluruhannya meningkat sebanyak 15.4 peratus,” katanya. 

Dalam pada itu, Mohd. Uzir menyifatkan pelancongan domestik terus kekal sebagai antara penyumbang dan komponen terpenting dalam menyokong momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia.

“Kadar penghunian hotel bertaraf tiga dan empat bintang masing-masing meningkat kepada 70.4 peratus dan 62.9 peratus, menunjukkan kecenderungan pelancong memilih penginapan kategori pertengahan.

“Bagi pasaran mengikut lokasi pula, hotel di kawasan bandar mencatatkan kadar penghunian sebanyak 64.1 peratus, manakala kawasan pesisir pantai merekodkan 59.9 peratus sepanjang suku dikaji,” katanya.  – u



Source link

OR

Scroll to Top