Pelakon dan penyampai radio, Sharifah Aleya mengesahkan rumah tangganya yang terbina selama 13 tahun bersama Mohammed Azam Abdullah atau Miko sudah pun berakhir.
Pengumuman itu dibuat sendiri oleh Aleya, 44, menerusi satu video kompilasi kenangan yang dimuat naik di Instagram (IG) sekali gus menjawab segala tanda tanya yang mula berlegar dalam kalangan pengikutnya.
Menurut Aleya atau nama lengkapnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid Al-Yahya, video tersebut sebenarnya dirakam sejak November 2025, namun hanya dikongsikan pada hari ini bersempena tamatnya tempoh iddah.
“Assalamualaikum, video reel ini merupakan kompilasi kenangan yang dirakam dan dikongsi sejak November 2025. Saya berkongsi pada hari ini kerana hari ini menandakan berakhirnya tempoh idah saya.
“Saya kini sah bercerai. Alhamdulillah,” katanya dengan nada tenang.

Bagaimanapun, Aleya tidak memperincikan punca perpisahan mereka dan memilih untuk tidak membuka ruang kepada spekulasi.
Dalam masa sama, ibu kepada empat cahaya mata itu memaklumkan dirinya serta anak-anak berada dalam keadaan baik dan saling menjadi kekuatan antara satu sama lain.
“Kami dalam keadaan baik dan saling menyokong antara satu sama lain mengharungi fasa ini.
“Alhamdulillah, kami mempunyai sistem sokongan yang sangat luar biasa,” ujarnya.
Jelas Aleya, pendedahan tersebut dibuat bagi mengelakkan sebarang fitnah dan salah faham daripada terus berpanjangan.
“Perkongsian ini dibuat untuk elak fitnah dan untuk maklumkan kepada semua kami dalam keadaan baik, Insya-Allah.
“Jika tidak keberatan, selitkanlah nama saya dan anak-anak dalam doa kalian. Semoga Allah memudahkan segala urusan dan mengampuni kami,” katanya lagi.
Untuk rekod, Aleya dan Miko mendirikan rumah tangga pada Januari 2013 dan dikurniakan dua anak lelaki, Ali Abdullah, 11, dan Ahyan Abdullah, 9.
Sebelum itu, Aleya pernah berkahwin dengan Muhd Ashraf Aasimuddin pada Disember 2007 sebelum berpisah pada Februari 2012.
Hasil perkahwinan pertama itu, mereka dikurniakan anak kembar perempuan, Aza Ameena dan Asha Ameena, kini berusia 17 tahun.






