KUALA LUMPUR: POPULAR-BH Anugerah Pilihan Pembaca (APP) kembali untuk edisi ke-16, sekali gus meneruskan misi memperkasa dan mengiktiraf sumbangan penulis tempatan dalam memperkaya khazanah sastera negara.
Dianjurkan secara tahunan oleh Kedai Buku POPULAR dengan kerjasama Berita Harian (BH), anugerah ini menjadi saksi kepada peningkatan kualiti karya penulis Malaysia merentasi pelbagai genre.
Sejak diperkenalkan pada 2008, APP berperanan sebagai pemangkin semangat buat penggiat seni kreatif untuk menghasilkan naskhah yang lebih bermutu dan kompetitif.
Persaingan sengit kategori Fiksyen, Bukan Fiksyen
Bagi edisi tahun ini, kategori Fiksyen memperlihatkan persaingan sengit antara nama-nama besar yang sering menduduki carta terlaris.
Antara naskhah yang disenaraikan ialah Rahsia Danny oleh Teme Abdullah, Qaid – The Unknown oleh Rehan Makhtar, serta Noktah nukilan Lollysnow.
Sementara itu, kategori Bukan Fiksyen terus didominasi judul-judul yang menyentuh jiwa dan kerohanian.
Calon utama bagi kategori ini termasuk Tuhan Tak Pernah Pergi oleh Iddin Ramli, Tuhan, Aku Ingin Cahaya oleh Adnin Roslan, serta naskhah Ibu Penat, Tapi Ibu Sayang karya Bonda Umirah.
Sebelum ini, APP pernah menyaksikan kejayaan penulis prolifik seperti Teme Abdullah yang mendominasi kemenangan bagi tahun 2024 dan 2025, selain Sofia Roses dan Hadi Fayyadh.
‘Baca untuk Undi, Undi untuk Menang’
Selaras dengan tema “Baca untuk Undi, Undi untuk Menang”, nasib para penulis kini terletak sepenuhnya di tangan pembaca.
Selain memberi sokongan kepada penulis kegemaran, seramai 100 pengundi bertuah berpeluang memenangi baucar bernilai RM50 dan e-kad keahlian percuma POPULAR selama setahun.
Orang ramai dijemput mengundi melalui laman web rasmi http://bookfest.popular.com.my sehingga 22 Februari 2026.
Sebagai nilai tambah, kesemua 20 judul yang tercalon kini ditawarkan dengan diskaun 20 peratus di semua cawangan POPULAR dan HARRIS di seluruh negara sehingga 26 April 2026.
Pemenang bagi setiap kategori bakal membawa pulang sijil penghargaan, trofi dan wang tunai dalam majlis penganugerahan yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mac 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), sempena ulang tahun ke-20 BookFest @ Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd






