KUALA LUMPUR: Skuad hoki kebangsaan bakal mengadakan dua aksi persahabatan sebagai persiapan terakhir menjelang kempen kelayakan Piala Dunia 2026 di Mesir pada 1 hingga 8 Mac ini.
Dua aksi tersebut menjadi medan terbaik ketua jurulatih negara, Sarjit Singh menilai tahap kesiapsiagaan pemain selain memantapkan kombinasi pasukan selepas menjalani latihan intensif sejak awal tahun.
Sarjit berkata, pasukannya akan berlepas ke Ismailia lebih awal untuk melakukan persiapan, termasuk mengatur dua aksi persahabatan sebagai medan pemanas badan, namun dia enggan mendedahkan identiti lawan.
“Kita akan bertolak ke Mesir pada 20 Februari ini, kita pergi awal lapan hari sebelum kejohanan. Pasukan akan berlatih di sana dari 21 hingga 27 Februari dan kita akan rehat sehari sebelum mula beraksi pada 1 Mac.
“Ya, sepanjang tempoh itu kita akan berlatih di sana namun saya tidak boleh mendedahkan identiti pihak lawan, KHM (Konfederasi Hoki Malaysia) akan maklumkan nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas tamat sesi latihan di Bukit Jalil, semalam.
Senarai akhir 20 pemain ke Mesir bakal diumumkan pada minggu depan dan difahamkan pemain muda seperti Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari dan Danish Aiman Khairil Anuar turut tersenarai selepas beraksi cemerlang pada siri Jelajah Australia bulan lalu.
Malaysia diletakkan dalam Kumpulan B bakal memulakan kempen menentang Austria pada 1 Mac ini sebelum bertemu Pakistan keesokan harinya dan China (4 Mac).
Kali terakhir Malaysia beraksi di pentas Piala Dunia pada edisi 2023 di India dan menamatkan saingan di tempat ke-13 keseluruhan.-UTUSAN





