Kesukaran bukan alasan berhenti kejar impian – Azizulhasni

Kesukaran bukan alasan berhenti kejar impian – Azizulhasni

Kesukaran bukan alasan berhenti kejar impian – Azizulhasni


sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang membuktikan usia dan fizikal kecil bukan penghalang untuk terus mencipta kejayaan apabila menghadiahkan pingat emas acara keirin di Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Kejayaan itu disifatkan Azizulhasni sebagai hasil daripada kerja keras, kesungguhan dan ketekunan yang tidak pernah luntur meskipun sedar dirinya kini berada di penghujung karier sebagai atlet elit.

Katanya, biarpun ramai meragui kemampuannya untuk terus bersaing di pentas tertinggi, dia berjaya membuktikan sebaliknya.

“Sekali lagi saya membuktikan kepada dunia betapa kerja keras, niat yang baik, kesungguhan dan ketekunan tinggi akhirnya akan menghadirkan sebuah kejayaan dalam kehidupan seharian kita.

“Siapa sangka, pada usia sebegini yang dilihat sebagai terlalu lewat di peringkat elit, ditambah dengan saiz tubuh badan jauh terlalu kecil jika dibandingkan dengan pihak lawan, saya masih mampu menggapai sesuatu yang rata-rata ramai orang menggelengkan kepala,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Selain itu, pelumba kelahiran Terengganu itu mengakui perjalanan untuk meraih kejayaan itu bukan mudah kerana terpaksa menempuh pelbagai cabaran sepanjang kariernya, namun enggan menjadikan segala kesukaran sebagai alasan untuk berhenti mengejar impian.

“Kejayaan ini sudah tentu bukannya sesuatu yang mudah. Pelbagai perkara dan pelbagai peristiwa perlu dihadapi, namun ia tidak menjadikan alasan untuk saya memburu sebuah kejayaan di peringkat tertinggi ini,” katanya.

Pingat emas itu mengukuhkan status Azizulhasni sebagai antara pelumba trek terbaik pernah dimiliki negara, sekali gus membuktikan semangat juang dan disiplin tinggi masih mampu mengatasi kekurangan fizikal serta faktor usia di pentas antarabangsa.

Selepas ini, Azizulhasni atau ‘The Pocket Rocketman’ akan beralih tumpuan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya dan sekali lagi menjadi sandaran penting untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top