PETALING JAYA: Selepas kecewa di separuh akhir, skuad bawah 17 tahun (B-17) wanita negara bangkit dengan penuh bergaya apabila membelasah Jordan 4-0 untuk meraih tempat ketiga Piala Srikandi Merdeka di Supersoccer Arena, hari ini.
Anak buah Fairuz Montana Zainal Abidin tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila pertahanan Jordan, Eman Muhannad tertampan bola ke gawang sendiri pada minit pertama.
Malaysia terus menguasai permainan sebelum Lim You, 14, menggandakan kelebihan pada minit ke-39 untuk meledak gol kelapannya dalam kejohanan, sekali gus membawa skuad negara mendahului 2-0 ketika rehat.
You sebelum ini mencuri tumpuan apabila meledak tujuh gol ketika Malaysia membelasah Arab Saudi 9-0 dalam aksi peringkat kumpulan.
Lima minit selepas babak kedua bermula, Malaysia terus menjarakkan kedudukan apabila Keisha Adeliena menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-50 selepas pengadil menghadiahkan sepakan berkenaan susulan kekasaran di dalam kotak penalti.
Jordan cuba mencari jalan untuk mengurangkan defisit, namun pertahanan Malaysia kekal kental sebelum Isabella O’Luanaigh melengkapkan pesta jaringan pada masa kecederaan minit ke-90+4 untuk memastikan kemenangan besar serta rekod tanpa bolos.
Kemenangan itu membolehkan Malaysia menutup kempen di Kudus dengan pingat gangsa selepas menduduki tempat kedua Kumpulan A hasil keputusan seri 0-0 dengan Hong Kong, tewas 3-0 kepada tuan rumah Indonesia dan membelasah Arab Saudi 9-0.
Bagaimanapun, perjalanan Malaysia ke pentas separuh akhir berakhir dengan kekecewaan selepas Thailand menyingkirkan mereka menerusi kemenangan 5-1, namun skuad muda negara bangkit untuk menamatkan kejohanan dengan kemenangan bergaya. – UTUSAN
