Isteri kepada pelakon terkenal, Fizo Omar iaitu Fazeera Nazri tampil mempertahankan suaminya susulan dakwaan tidak berasas yang mendakwa aktor berkenaan tidak bekerja serta culas dalam memberi nafkah kepada keluarga.
Menerusi satu hantaran di Threads, Fazeera menegaskan tuduhan tersebut amat berat dan menyakitkan hati, lebih-lebih lagi apabila ia dilemparkan oleh golongan wanita sendiri.
“Kalau nak libatkan saya seorang, tak mengapa. Tapi jangan sampai menyebut nama suami dan anak-anak saya.
“Ada yang menuduh kononnya suami saya tidak memberi nafkah yang mencukupi, saya sahaja yang bekerja keras dan melahirkan ramai anak.
“Terus terang saya katakan, tuduhan itu sangat jahat dan menyakitkan hati, lebih-lebih lagi apabila datang daripada mulut sesama perempuan,” katanya.

Isteri pertahan Fizo Omar
Menurut Fazeera, dia tidak pernah merasakan keperluan untuk mendedahkan kepada umum segala bentuk tanggungjawab dan pemberian suaminya, apatah lagi perkara tersebut bersifat peribadi.
“Takkan saya nak ceritakan kepada satu dunia apa yang suami saya berikan kepada saya.
“Nanti bila diceritakan, dituduh pula riak dan timbul pula ain,”ujarnya.
Tambahnya, sekiranya benar keluarganya hidup dalam kesusahan seperti didakwa, mustahil dia mampu menjalani kehidupan seperti yang dilihat umum ketika ini.
“Kalau benar hidup saya bergelut dan susah, bagaimana pula saya mampu melahirkan anak hampir setiap tahun, menyambung pelajaran, melancong, serta membayar komitmen rumah, kereta dan bil-bil?
“Anak-anak pula semuanya ditanggung, termasuk insurans yang lengkap. Semua itu adalah hasil tanggungjawab dan usaha suami saya.
“Sehingga hari ini, saya tidak bekerja dan berasa tenang kerana tahu suami sentiasa ada di belakang. Kalau saya kongsikan berlebihan apa yang suami berikan, nanti ada pula yang menuduh saya menunjuk-nunjuk dan riyak,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Fazeera turut memaklumkan bahawa suaminya sendiri pernah menasihatkan agar mereka sekeluarga kekal merendah diri di media sosial bagi mengelakkan hasad dengki serta perkara tidak diingini seperti penyakit ain.
“Suami saya pernah berpesan supaya kami sentiasa bersikap rendah diri di media sosial. Sebab itu saya memilih untuk tidak mempamerkan apa yang kami miliki.

Artikel lain: Fizo Omar hanya boleh temui Maryam 4 hari dalam sebulan, waktu lain tak dibenarkan
Namun malangnya, tetap timbul tuduhan tidak berasas daripada segelintir wanita yang berkata-kata tanpa berfikir dan menyakiti hati,” katanya.
Terdahulu, Fazeera berkongsi pandangannya mengenai sikap segelintir wanita yang didakwa menggunakan kecantikan sebagai kelebihan untuk bergantung hidup kepada lelaki berharta.
Malah, beliau berpendapat istilah lelaki ‘provider’ kini sering disalah tafsir sehingga mengaburi tanggungjawab sebenar seorang ketua keluarga.






