mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bola sepak Selangor terus berada pada landasan tepat untuk berkembang pesat di bawah teraju Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang juga Pengerusi Selangor FC.
Kepemimpinan baginda dilihat menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam ekosistem bola sepak negeri itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan Tengku Amir Shah menunjukkan kepemimpinan yang sangat baik untuk membawa bola sepak Selangor ke peringkat lebih tinggi.
Menurutnya, banyak perubahan dan transformasi dilaksanakan dan ia merangkumi pelbagai aspek membabitkan bola sepak di negeri itu.
“Bukan sahaja di peringkat kelab tetapi juga di peringkat persatuan. Bukan sahaja di peringkat profesional tetapi juga di peringkat akar umbi, wanita, jurulatih, pengadil dan sebagainya.
“Perubahan-perubahan yang baginda jalankan di Selangor agak menyeluruh dari seluruh pelusuk untuk beberapa tahun kebelakangan ini.
“Bagi saya, kita amat berbangga dengan kemajuan dan juga kepemimpinan RMS dan memang seluruh Selangor menyokong kepemimpinan baginda.
“Sokongan yang diberikan juga sangat baik dari penyokong, pihak swasta, badan korporat, kerajaan dan juga badan bukan kerajaan NGO,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui pada Hari Legasi yang menyaksikan Buku Gemilang Sejarah Perjalanan Bolasepak Selangor dilancarkan di Stadium Merdeka, semalam.
Buku berkenaan dilancarkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang turut berangkat mencemar duli pada majlis berkenaan.
Dalam titah baginda, buku Gemilang itu bukan sekadar naskhah semata mata tetapi menyimpan denyut nadi perjuangan, pengorbanan dan kebanggaan pasukan bola sepak negeri Selangor.
Majlis berkenaan sekali gus memperlihatkan kesinambungan legasi bola sepak Selangor yang terus diperkukuh di bawah kepemimpinan RMS.
© New Straits Times Press (M) Bhd






