Suasana di set penggambaran muzik video Dentam Dentum Raya cukup meriah apabila tiga bintang muda, Hadie Elfardie, Auddra dan Ammar Haikal bergabung tenaga sebagai Trio Mut.
Lagu raya terbitan Jaja Ishak Channel itu menampilkan konsep ceria berlatarkan persahabatan dan kemeriahan Aidilfitri.
Menurut Auddra, lagu berkenaan membawa kisah pengalaman menyambut raya bersama orang terdekat, selain dia turut diberi tanggungjawab menyanyikan bahagian rap.
“Lagu ini menceritakan mengenai pengalaman Raya bersama kawan-kawan dan keluarga. Saya menyanyikan bahagian rap dalam lagu ini. Sepatutnya, bahagian rap itu penerbit nak minta Hadie atau Ammar nyanyikan, tapi akhirnya saya yang membawakan bahagian terbabit,” kata anak kepada pengacara Sharifah Shahirah ini.
Anak kepada penyanyi Ina Naim, Hadie Elfardie pula meluahkan rasa syukur apabila peluang seni semakin terbuka selepas pertandingan dan menganggap projek ini cukup bermakna kerana dapat bekerjasama dengan rakan rapatnya.
“Selepas pertandingan, rezeki semakin banyak. Sudah tentu saya teruja kerana ini adalah lagu Raya pertama kami semua, lepas itu dapat pula bergandingan dengan sahabat baik saya, Ammar dan Auddra,” katanya.
Bagi Ammar yang merupakan putera kepada penyanyi Ameng Spring, lagu tersebut menjadi langkah permulaan dalam karier nyanyiannya selain memberi pengalaman baharu sepanjang penggambaran.
“Saya teruja kerana ini karya pertama saya sebagai seorang penyanyi, lagu Raya dengan Trio Mut dan diterbitkan oleh Jaja Ishak. Ia membuatkan saya lebih teruja,” katanya.
Namun begitu, Ammar mendedahkan proses rakaman muzik video bukan tanpa cabaran apabila mereka perlu menari dan mencari keserasian vokal.
“Cabaran untuk menari dalam muzik video ini adalah salah satunya. Selain itu, cabaran untuk mengharmonikan lagu ini kerana suara kami bertiga mempunyai tone berbeza, tiga-tiga tak boleh harmoni sangat. Untuk lagu ini, kami belajar untuk harmoni,” katanya.
Hadie turut mengakui projek berkumpulan mengajar mereka lebih sabar memahami karakter masing-masing.
“Kami juga harus belajar sabar kerana projek ini melibatkan ramai orang. Semua ada karakter berbeza. Saya ada perangai tersendiri, begitu juga Auddra dan Ammar. Setiap orang ada kekurangan dan kelebihan masing-masing,” katanya lagi.
Dentam Dentum Raya dijangka menemui peminat tidak lama lagi dengan konsep santai dan ceria, sesuai dengan imej Trio Mut yang menampilkan energi muda serta persahabatan mereka di luar kamera.






