Dr Sam patuh jika dilantik pengerusi PN -“Apa saja keputusan parti saya akur”

Dr Sam patuh jika dilantik pengerusi PN -“Apa saja keputusan parti saya akur”


Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan beliau akan sentiasa akur dan patuh terhadap setiap keputusan parti, termasuk sekiranya dilantik sebagai pengerusi PN (Perikatan Nasional) bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan pada 1 Januari lalu.

Tak tahu nama dicalonkan ataupun tidak sebagai Pengerusi PN

Memetik laporan daripada Malaysiakini, Menteri Besar Terengganu itu berkata, beliau tidak mengetahui sama ada namanya dicalonkan sebagai pengganti Muhyiddin kerana bukan ahli mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

“Saya tidak tahu (nama dicalonkan sebagai pengganti Muhyiddin) dan saya bukan ahli mesyuarat Majlis Tertinggi PN. Jadi, saya tak tahu.
Namun (sekiranya dilantik)…Saya orang parti, jadi apa saja keputusan parti saya akan akur,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Parti Gerakan di Kuala Lumpur, hari ini.

pengerusi PN

SUA PAS maklumkan calon pengerusi PN sudah dikenal pasti

Sehingga kini, PN masih bergelut untuk memuktamadkan kedudukan ketua gabungan parti pembangkang itu, dan mesyuarat majlis tertinggi dijangka diadakan selepas 20 Februari dengan kehadiran semua empat presiden parti komponen.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan sebelum ini dilaporkan berkata calon pengerusi telah dikenal pasti sebagai seorang anggota Parlimen dan pemimpin kanan PAS, tetapi keputusan muktamad hanya dibuat oleh majlis tertinggi gabungan itu.

Terdahulu, foto pertemuan Muhyiddin bersama Ahmad Samsuri, yang dimuat naik Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman di Facebook telah menimbulkan spekulasi bahawa Menteri Besar Terengganu itu antara calon tersenarai.

Mohd Syahir menjelaskan pertemuan itu dibuat atas mandat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Artikel lain: Mansuh jawatan Pengerusi PN? Hadi Awang nafi dakwaan Muhyuddin, tak pernah bincang

Walau bagaimanapun, dengan kedudukan yang masih belum muktamad, Ahmad Samsuri menekankan kesetiaannya terhadap parti dan kesediaannya akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh majlis tertinggi, menekankan bahawa sebagai ahli parti, beliau menghormati proses dalaman gabungan dan komitmen untuk kepentingan bersama.

Sumber: Malaysiakini (Shakira Buang)





Source link

OR

Scroll to Top