Anggota tentera cedera terkena tembakan rakan di lapang sasar


am@hmetro.com.my

Seremban: Seorang anggota tentera cedera selepas dikatakan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika berada di lapang sasar dekat Sungai Menyala, Port Dickson, petang tadi.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, mangsa mengalami kecederaan di muka dan kini dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini.

“Pihak kami mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang anggota tentera yang terkena tembakan di lapang sasar, Sungai Menyala.

“Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika mangsa bersama beberapa anggota lain berada di lokasi berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga anggota tentera ditahan bagi membantu siasatan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke HTJ bagi pemeriksaan serta rawatan lanjut.

“Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian ini,” katanya.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak tepat sehingga boleh menjejaskan proses siasatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top