rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Balai dan dua anggotanya yang ditahan berhibur di sebuah pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras di sini, didapati positif dadah.
Ketiga-tiga mereka berusia antara 37 hingga 57 tahun itu bertugas di dalam kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mereka antara 14 individu yang ditahan dalam serbuan polis di pusat hiburan berkenaan pada awal pagi semalam.
“Hasil pemeriksaan dan ujian saringan air kencing, 14 orang ditahan itu positif dadah termasuk tiga anggota polis.
“Kesemua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hussein berkata, pihaknya turut mengambil tindakan menukar tiga anggota polis terbabit serta-merta ke Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, sementara menunggu hasil siasatan.
Beliau berkata, satu siasatan tatatertib juga akan menyusul untuk tindakan dalaman Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pegawai dan anggota adalah dilarang berada di pusat hiburan kecuali atas urusan tugas.
“Tindakan tegas termasuk pertuduhan jenayah akan diambil ke atas mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar arahan termasuk terbabit penyalahgunaan dadah,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis menahan seorang ketua balai polis dan dua anggotanya yang berhibur di sebuah pusat hiburan.
Menurut sumber, serbuan dijalankan sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Selangor selepas menerima maklumat.
© New Straits Times Press (M) Bhd