Lelaki hadapi 44 tuduhan pengubahan wang haram RM1.7 juta

Lelaki hadapi 44 tuduhan pengubahan wang haram RM1.7 juta


rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas penolong pengurus kedai jam mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di sini, atas 44 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM1.7 juta sejak dua tahun lalu.

Tertuduh Miki Oshiro, 36, didakwa menerima wang berkenaan daripada seorang pelanggan wanita berusia 61 tahun melalui 44 kali transaksi ke akaun bank miliknya.

Dia kemudian memindahkan wang yang merupakan hasil aktiviti haram berjumlah RM628,499 daripada akaun simpanannya ke dalam akaun lain miliknya sendiri dan beberapa akaun milik syarikat serta individu lain.

Kesalahan berkenaan dilakukan di dua bank di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor, antara 5 Oktober 2024 hingga 3 Januari 2025.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda nilai aktiviti haram itu atau RM5 juta mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dijalankan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, Azrul Darus dan Norma Ismail.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Mohd Marzuki bersama P Sangari yang mengendalikan kes menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap kes kerana ia kesalahan serius dan memberi kesan kepada ekonomi dan sistem perbankan negara.

Pihak pendakwaan turut mencadangkan tertuduh melapor diri di Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman setiap bulan namun tertuduh tiada risiko melarikan diri ke luar negara kerana pasportnya sudah berada dalam simpanan mahkamah bagi kes pertuduhan sebelum ini.

Peguam S Narasimhan yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan yang rendah kerana ibunya akan menjamin anak lelakinya itu, selain mengambil kira tertuduh sudah menghadapi pertuduhan kes lain.

Ketiga-tiga mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin keseluruhan RM105,000 berserta syarat tambahan yang dinyatakan pihak pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan sebutan semula kes pada Jumaat ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top