Penyanyi Elyana, menjadi perhatian ramai apabila berkongsi luahan penuh emosi mengenai perjalanan hidupnya yang masih berjuang melawan kanser limfoma tahap empat sejak 2010 lagi.
Terus kuat berjuang hidup

Menerusi perkongsian di Instagram, pemilik nama Erneelya Elyana Emrizal itu memberi bayangan seolah-olah memahami arah perjalanan hidupnya, namun tetap menyimpan harapan agar dapat diberikan peluang untuk hidup sedikit lebih lama.
==
“Sebenarnya aku sudah paham arah akhirnya ke mana, tapi aku masih ingin tinggal sedikit lebih lama, menikmati sisa cerita sebelum semuanya benar-benar jadi kenangan,” tulisnya ringkas.
Dalam perkongsian sama, pelantun lagu Kalis Rindu itu turut berkongsi sekeping gambar memperlihatkan dirinya sedang duduk di atas katil hospital dan dipercayai sedang melakukan rawatan kimoterapi.

Luahan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan peminat dan rakan selebriti yang menitipkan doa serta kata-kata semangat agar penyanyi itu terus kuat menghadapi ujian tersebut.
Artikel lain: 15 tahun kena kanser tak pernah susahkan orang, hadap semua sendiri – Elyana
Untuk rekod, Elyana sebelum ini mendedahkan dirinya menghidap kanser limfoma dan telah menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi. Dia juga sering berkongsi perkembangan kesihatannya secara terbuka sebagai sumber inspirasi kepada pesakit lain.
Walaupun berdepan cabaran kesihatan yang berpanjangan, dia kekal positif dan tidak pernah berhenti menyebarkan mesej kekuatan serta ketabahan kepada orang ramai.
Perkongsian terbaharunya itu jelas menggambarkan ketenangan dan penerimaan terhadap takdir, dalam masa sama memperlihatkan keinginannya untuk terus menghargai setiap detik kehidupan yang masih ada.
Sumber: Instagram elyanaofficial1





