Newcastle: Pengurus Newcastle United, Matthias Jaissle enggan terlalu memikirkan kehilangan beberapa tonggak utama yang menyebabkan kelab itu berdepan pergolakan menjelang saingan Liga Perdana Inggeris musim baharu.
Sebaliknya, pengendali dari Jerman itu melihat situasi berkenaan sebagai peluang untuk membentuk semula pasukan.
Jaissle dilantik menggantikan Eddie Howe bulan lalu selepas meninggalkan kelab Liga Profesional Saudi, Al Ahli, yang dipimpinnya meraih dua gelaran Liga Juara-Juara AFC berturut-turut.
Namun, beliau tiba di Newcastle ketika kelab itu kehilangan Anthony Gordon, Sandro Tonali dan kapten Bruno Guimaraes dalam tempoh singkat.
“Ini satu cabaran, cabaran besar, terutama apabila berlaku tempoh peralihan. Tetapi sekarang bukan masa untuk mengeluh kerana tiada gunanya melihat perkara negatif.
“Kami mahu melihat peluang dalam situasi ini dan itulah pendekatan kami sejak hari pertama. Kami berada di sini untuk melakukan tugas sebaik mungkin dan menyokong pemain serta skuad sedia ada,” kata Jaissle kepada pemberita.
Jurulatih berusia 38 tahun itu berkata beberapa penyesuaian mungkin dilakukan dalam tempoh beberapa hari atau minggu akan datang, namun buat masa ini fokusnya adalah kepada perkara yang mampu dikawal.
“Buat masa ini, ia hanya mengenai kerja harian dan perkara yang boleh kami pengaruhi. Itu saja yang penting sekarang,” katanya.
Jaissle sebelum ini memenangi dua gelaran Bundesliga Austria bersama Red Bull Salzburg sebelum membawa Al Ahli menjulang kejuaraan Liga Juara-Juara AFC dua kali berturut-turut.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan pemain baharu yang bakal dibawa masuk.
“Dalam tempoh peralihan ini, pemain yang meninggalkan kelab adalah pemain hebat, mempunyai karakter kuat dan berpengalaman. Kini wujud kekosongan.
“Sama ada kami melakukan perubahan dalam skuad dengan mendapatkan pemain yang mempunyai profil sesuai atau pemain lain perlu tampil ke hadapan untuk mengisi posisi serta peranan kepimpinan itu.
“Saya agak optimistik kerana kami boleh bergerak menerusi kedua-dua senario,” katanya.
Jaissle turut menjelaskan beliau sudah mempunyai gambaran jelas mengenai corak permainan yang mahu diterapkan di Newcastle.
“Cara Newcastle perlu bermain adalah dengan berada di hadapan, sengit, agresif dan sudah tentu berjaya.
“Pendekatan kami sebagai barisan kejurulatihan dan identiti Newcastle yang sudah begitu dikenali sangat berkait rapat. Pada pandangan saya, ia satu padanan yang sempurna dan saya teruja dengan apa yang bakal berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
