KUALA LUMPUR: Pelakon, Zarynn Min, 45, tidak menafikan muncul segelintir rakan industri yang tidak menyenangi tindakannya menggunakan media sosial untuk mencari peluang berlakon.
Malah kata Zarynn, selain dipersoalkan, rakan artis terbabit turut menyifatkan tindakannya itu sebagai memalukan diri sendiri.
“Ramai yang tegur kerana saya tulis di media sosial untuk minta diambil berlakon. Ada juga yang anggap tindakan itu memalukan diri.
“Saya ini bukannya meminta-minta. Itu cara saya pasarkan diri, guna cara betul melalui media sosial.
“Saya tidak ada pengurus atau pembantu. Jadi kena usaha sendiri. Yang jelas saya tidak kacau orang lain. Tapi ramai pula yang tidak senang hati,” kongsinya.
Zarynn berkata demikian pada majlis tayangan dan sidang media filem Amira Amir baru-baru ini.
Zarynn dalam masa sama memaklumkan tidak terasa hati apabila muncul netizen yang menyifatkan dia sebagai pelakon ‘muka bersepah’ kerana sering muncul dalam pelbagai drama.
“Saya tidak terasa hati. Perkataan bersepah itu mungkin menggambarkan saya berlakon dalam banyak drama.
“Yang saya risaukan adalah stesen televisyen. Khuatir mereka teragak-agak untuk ambil saya berlakon kerana muka saya keluar banyak drama.
“Apa pun saya doa dan berharap perkara itu tidak berlaku,” jelasnya lagi. – UTUSAN






