Shahidan Kassim mohon PM Anwar pertimbang semula, cadang KWSP perkenal Pengeluaran Khas Aidilfitri

Shahidan Kassim mohon PM Anwar pertimbang semula, cadang KWSP perkenal Pengeluaran Khas Aidilfitri


Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, mencadangkan agar kerajaan meneliti pelaksanaan Pengeluaran Khas Aidilfitri daripada akaun Kumpulan Wang Kumpulan Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar dan bersyarat.

Menurutnya, ia bagi memberi manfaat kepada pencarum yang benar-benar terkesan dengan kos sara hidup.

Beliau berkata, pendekatan ini boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan simpanan persaraan masa hadapan para pencarum.

Shahidan Kassim mohon PM Anwar pertimbang semula

Shahidan turut memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mempertimbangkan supaya agihan dividen KWSP tahun lalu dapat dimanfaatkan secara lebih langsung melalui penyaluran ke Akaun 3, khususnya kepada pencarum yang memerlukan.

“Adalah lebih baik isu ini dibahaskan secara menyeluruh di Dewan Rakyat agar semua Ahli Parlimen dapat mengemukakan pandangan, cadangan serta pendekatan terbaik demi memastikan keputusan yang diambil berpihak kepada kepentingan rakyat dan masa depan pencarum,” kata Shahidan menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Tambah Shahidan yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pas Pusat, beliau akan mengemukakan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) pada Isnin ini bagi membolehkan cadangan tersebut dibincangkan secara rasmi di Parlimen.

“Selain itu, saya akan menggerakkan himpunan di seluruh negara untuk turun sendiri mendengar luahan dan pandangan rakyat berkaitan isu ini,” tambah beliau.

Minggu lalu, Shahidan turut mencadangkan kerajaan memasukkan 100 peratus dividen KWSP ke dalam Akaun 3 bagi meringankan beban rakyat.

Tegas beliau, cadangan itu hanya melibatkan dividen tahunan hasil pelaburan KWSP, bukan caruman asal atau pengeluaran simpanan pokok.

Artikel lain: Shahidan Kassim seru semua dividen KWSP masuk Akaun 3! Legakan beban pencarum beraya

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, menjelaskan bahawa Akta KWSP tidak membenarkan dividen daripada akaun lain dimasukkan ke akaun lain, dan pembahagian dividen dikira berdasarkan baki terakhir setiap akaun pencarum.

KWSP juga mengumumkan kadar dividen 6.15 peratus untuk kedua-dua simpanan konvensional dan syariah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.

Sumber: FB Shahidan Kassim





Source link

OR

Scroll to Top