Dua polis bantuan terlibat kes dadah di Puspen Kedah berdepan Lembaga Tatatertib – Saifuddin

Dua polis bantuan terlibat kes dadah di Puspen Kedah berdepan Lembaga Tatatertib – Saifuddin


Bachok: Dua anggota polis bantuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang disyaki terlibat membekalkan dadah kepada 47 klien Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Serdang, Kedah, akan dihadapkan ke Lembaga Tatatertib esok.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu menyusul selepas kedua-dua anggota sokongan berkenaan dikeluarkan dari Puspen Serdang dan ditukarkan ke AADK Kedah berikutan penglibatan mereka dalam kes berkenaan.

Beliau menyifatkan tindakan petugas pengawasan yang membekalkan dadah kepada klien itu ibarat “harapkan pegar, pegar makan padi” dan menegaskan kementerian sama sekali tidak akan berkompromi dengan kesalahan memalukan itu.

“Berdasarkan siasatan, tiga anggota sokongan terlibat. Seorang daripadanya telah pun dipecat pada Oktober tahun lepas selepas disahkan positif dadah dan terbukti membekalkan bahan terlarang itu.

“Baki dua lagi anggota, walaupun saringan awal mendapati mereka negatif dadah siasatan mendapati mereka turut terlibat membekalkan dadah dan akan berhadapan dengan Lembaga Tatatertib pada esok untuk tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas menyantuni klien wanita AADK sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Bersama MDN di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik, di sini, awal pagi ini.

Pada Khamis lepas, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku pelanggaran arahan oleh pegawai PUSPEN Serdang hingga 47 klien disyaki positif dadah jenis methamphetamine.

EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib

AADK dengan syor hukuman tatatertib di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Selain itu, EAIC mencadangkan kawal selia lebih ketat dilaksanakan bagi memastikan tiada bahan terlarang dibawa masuk ke PUSPEN.

Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata AADK mencatatkan kadar keberkesanan program pemulihan hampir mencecah 80 peratus, satu pencapaian yang membuktikan modul rawatan agensi itu berada pada landasan yang tepat.

Beliau berkata kejayaan itu diukur melalui kadar pemulihan atau ketiadaan kes berulang dalam kalangan klien selepas mereka selesai menjalani rawatan.

“Modul pemulihan AADK memberi tumpuan yang komprehensif merangkumi aspek kerohanian, sosial, emosi, dan kognitif. Pendekatan ini memastikan manusia dirawat dari segenap elemen iaitu akal, jasad, dan roh,” katanya.

Bagi menggalakkan lebih ramai individu tampil mendapatkan rawatan, beliau memaklumkan pindaan terhadap Akta Penagih Dadah telah dilaksanakan untuk membuang elemen jenayah (decriminalization) bagi klien yang mendaftar secara sukarela.

“Langkah ini penting untuk mengubah stigma masyarakat. Apabila mereka dilihat sebagai pesakit yang perlu dirawat dan bukan penjenayah, lebih mudah untuk keluarga dan individu terbabit tampil. Jika mereka masuk secara sukarela, nama mereka tidak akan direkodkan dalam senarai jenayah,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata Puspen Bachok menempatkan 141 klien wanita, 17 daripadanya merupakan klien sukarela.

“Secara keseluruhan, terdapat kira-kira 1,500 klien sukarela daripada jumlah keseluruhan lebih 6,000 individu yang ditempatkan di institusi Puspen seluruh negara, manakala 50,000 hingga 60,000 klien lagi sedang menjalani pemulihan dalam komuniti,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh dan Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top