Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah, menegaskan isu mengenai lantikan individu bukan Islam di pejabatnya adalah fitnah dan berniat jahat.
Beliau berkata perkara itu berpunca daripada hantaran infografik kononnya daripada Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM), yang menzahirkan ucapan tahniah terhadap pelantikan individu berkenaan sebagai setiausaha kanan pejabatnya.
Tiada pegawai bukan Islam, bukan Melayu bertugas!
Pihak MKM bagaimanapun menafikan ia daripada mereka dan menyatakan hantaran itu telah disunting.


“Di pejabat saya, tidak pernah ada pegawai yang bukan Islam atau bukan Melayu bertugas sehingga kini dan kami tidak berhasrat melakukan lantikan sebegitu,” katanya melalui rakaman video di media sosial rasmi hari ini.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut menasihatkan pengguna media sosial menurunkan segala laporan dan tohmahan berhubung isu itu dalam tempoh 24 jam, atau beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun yang dikenal pasti.
Beliau turut memetik Surah Al-Baqarah ayat 191, menekankan bahawa fitnah lebih besar dosanya daripada membunuh, serta menyeru orang ramai menghentikan penyebaran fitnah dan kembali kepada amalan mulia, terutama pada bulan Ramadan.
Artikel lain: Tak benar! Selangor nafi tapak surau diambil jadi kuil, minta semua bertenang – EXCO

Sebelum ini, hantaran poster berunsur ucapan tahniah terhadap individu bukan Islam itu tular dan mencetuskan reaksi tidak senang dalam kalangan pengguna media sosial.
Sumber: FB Dr Fahmi Ngah





