Arteta perlu memikirkan strategi ampuh untuk menjinakkan City di Etihad hujung minggu ini. Foto Agensi
ARSENAL telah mengesahkan tempat ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) selepas menyingkirkan Sporting CP, namun perhatian kini terarah kepada aksi penting Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Manchester City di Stadium Etihad hujung minggu ini.
Perlawanan itu dijangka menjadi penentu utama dalam perebutan kejuaraan musim ini, dengan Mikel Arteta perlu memastikan anak buahnya bersedia dari segi mental dan fizikal berdepan tekanan di tempat lawan.
Legenda kelab, Thierry Henry tampil memberi peringatan keras kepada Arsenal dengan menegaskan bahawa laungan keyakinan perlu diterjemahkan kepada aksi sebenar di atas padang.
“Mereka diminta melakukan kerja, mereka sudah lakukannya. Saya mahu lihat perkara itu pada hujung minggu.
“Saya mahu lihat ‘api’ itu di Etihad. Mudah untuk bercakap, tetapi pergilah ke sana dan buktikan,” tegas Henry.
Henry turut menambah, kata-kata motivasi tidak membawa makna jika tidak disertakan dengan prestasi sebenar ketika berdepan City.
Aksi City menentang Arsenal itu dilabel sebagai antara perlawanan paling penting dalam karier pengurusan Arteta setakat ini, dengan keputusan perlawanan dijangka memberi impak besar terhadap perebutan gelaran liga.






