am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Perikatan Nasional (PN) akan memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 14 Mac ini bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan perjalanan gabungan itu termasuk memutuskan Ketua Pembangkang Parlimen yang baharu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, notis makluman sudah dihantar kepada ahli-ahli Majlis Tertinggi PN.
“PN akan mengadakan mesyuarat majlis tertinggi pada 14 Mac, hari Sabtu, jam 11 pagi.
“Notis sudah pun dikeluarkan kepada semua ahli-ahli mesyuarat ahli majlis tertinggi,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Media hari ini melaporkan, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pimpinan PAS segera menamakan Ketua Pembangkang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin, memandangkan ia membabitkan imej dan maruah PN.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut sudah tidak lagi menjadi ahli BERSATU dan PN kerana dipecat keahliannya dalam parti, sekali gus tidak berhak untuk terus memegang jawatan itu.
Takiyuddin ketika sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tertinggi PN baru-baru ini memaklumkan PAS akan mengambil alih posisi Ketua Pembangkang, namun sehingga kini, belum jelas siapa akan dinamakan dari parti itu.
Bagaimanapun, beberapa nama disebut-sebut akan dinamakan termasuk Takiyuddin sendiri yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan Setiausaha Agung PAS.
Hamzah yang juga bekas Timbalan Presiden BERSATU serta tiga lagi Ahli Parlimen BERSATU sebelum ini dipecat keahlian partinya dan status mereka kini adalah Ahli Parlimen bebas yang menyokong PN.
© New Straits Times Press (M) Bhd






