Penyanyi dan pelakon, Sasha Saidin meluahkan rasa syukur keadaan suaminya, Sirhan dan rakan-rakan di Abu Dhabi dan Dubai dalam keadaan selamat, susulan ketegangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Menerusi perkongsian di Instagram (IG) miliknya, kakak kepada pelakon Zain Saidin ini memaklumkan dia sudah pulang ke Malaysia sebelum Ramadan.
“Walaupun saya berada di sini seorang diri, saya masih mempunyai keluarga sepupu dan sahabat Malaysia di sana. Mereka semua selamat dan sentiasa beri perkembangan terkini,” katanya.
Mengakui terkejut dengan situasi di sana, Sasha bagaimanapun mempercayai kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) cekap menguruskan kedaaan.
“Saya dapat makluman daripada mereka situasi di sana masih dalam keadaan terkawal. Enam tahun jadi penduduk Dubai, saya lihat cara mereka bekerja sangat efisien.
“Mereka cuba yang terbaik untuk tenangkan keadaan. Ada bunyi alarm tetapi itu hanyalah langkah keselamatan supaya orang ramai berwaspada,” katanya.
Dalam pada itu, Sasha memaklumkan jadual penerbangan ahli keluarganya ke Malaysia terpaksa ditanggungkan susulan gangguan operasi lapangan terbang yang dihentikan buat sementara waktu.
“Insyaallah dalam beberapa hari mereka akan beroperasi semula,” ujarnya.
Sasha turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan berita palsu terutamanya berhubung konflik peperangan tersebut.
“Banyak berita palsu di media sosial menunjukkan Dubai tetapi sebenarnya bukan.
“Pastikan baca bahan yang betul dan dipercayai,” katanya.






