am@hmetro.com.my
Pontian: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan 70 peratus atau 1.8 juta pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, esok.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, jangkaan peningkatan keluar mengundi berbanding PRN 2022 itu didorong oleh peningkatan minat masyarakat untuk terbabit dalam proses demokrasi di Johor.
“Kita melihat ada kecenderungan dan minat untuk mengundi pada kali ini agak tinggi serta kempen yang berterusan.
“Kita menjangkakan peratusan keluar mengundi boleh sampai sekitar 70 peratus, saya rasa semangat dalam kalangan rakyat untuk terbabit dalam proses demokrasi agak tinggi akhir-akhir ini,” katanya selepas hadir bagi melakukan semakan terhadap isi peti undi PRN Johor di Dewan Serbaguna Permas, Kukup, di sini hari ini.
PRN Johor dilaporkan mempunyai lebih 2.7 juta pemilih dengan 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,849 saluran.
Ramlan berkata, proses semakan peti undi itu amat kritikal dan penting bagi memastikan semua peralatan yang akan digunakan esok berada dalam keadaan lengkap dan teratur.
“Setakat ini saya difahamkan hampir semua pegawai pengurus di 56 pusat di seluruh Johor. Alhamdulillah proses berjalan amat lancar.
“Proses mengundi esok akan bermula pada jam 8 pagi, manakala kebanyakan pusat mengundi akan ditutup pada jam 5 petang,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pengundi pos supaya memulangkan kertas undi masing-masing selewat-lewatnya jam 6 petang esok.
Katanya, sebanyak 24,677 kertas undi pos dikeluarkan kepada pegawai dan rakyat yang berada di luar negeri, dan semua kertas undi itu perlu dipulangkan sebelum tempoh pengundian ditutup pada jam 6 petang esok.
Seramai 43,036 petugas SPR akan bertugas bagi memastikan kelancaran sepanjang PRN Johor kali ini berlangsung.
© New Straits Times Press (M) Bhd






