Tak kira parti politik! Saman konvoi kempen PH tanpa helmet – Loke

Tak kira parti politik! Saman konvoi kempen PH tanpa helmet – Loke

Tak kira parti politik! Saman konvoi kempen PH tanpa helmet – Loke


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah mengeluarkan saman terhadap mana-mana individu yang didapati menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk petugas kempen Pakatan Harapan (PH) dan DAP.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya memandang serius rakaman video yang tular memaparkan sekumpulan petugas kempen PH, termasuk daripada DAP, menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar ketika berkempen.

Foto: Media sosial

Beliau menegaskan, pendiriannya mengenai pematuhan undang-undang keselamatan jalan raya kekal konsisten sejak dahulu dan tidak berubah walaupun melibatkan rakan dalam gabungan politik sendiri.

“Saya sudah arahkan JPJ mengeluarkan saman kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan ini berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik.
“Ini termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi kempen PH di Johor,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Foto arkib: Bernama

Menurut Loke, isu sama pernah dibangkitkannya ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, Tanjung Malim hampir enam tahun lalu yang melibatkan pemimpin Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau ketika itu turut menegaskan bahawa tiada kesalahan menggunakan motosikal sebagai medium berkempen, namun setiap penunggang tetap diwajibkan memakai topi keledar.

“Ketika saya membangkitkan isu sama melibatkan pemimpin BN semasa kempen PRK Slim hampir enam tahun lalu, saya sudah tegaskan: tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat.
“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk calon dan petugas kempen Pakatan Harapan. Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik,” ujarnya.

Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil dan saksama tanpa memilih bulu.

Foto: Media sosial

Menurutnya, tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan, walaupun membabitkan rakan sekempen sendiri.

“Undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia. Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri.
“Keselamatan nyawa rakyat mendahului kepentingan politik mana-mana pihak,” tegas Loke.

Sumber: Facebook Anthony Loke Siew Fook





Source link

OR

Scroll to Top