Mampukah Aaron-Wooi Yik julang gelaran dunia buat kali kedua?


 

PETALING JAYA: Mampukah beregu lelaki No. 1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sekali lagi mencipta sejarah Malaysia dinobatkan sebagai juara dunia buat kali kedua, selepas mereka mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi, India, hari ini?

Pasangan No. 4 dunia itu mengejutkan juara bertahan yang juga beregu No. 1 dunia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan 21-17, 21-18 dalam masa 43 minit.

Kemenangan itu juga merupakan kejayaan kedua Aaron-Wooi Yik ke atas Won Ho-Seung Jae daripada lima pertemuan membabitkan kedua-dua beregu dalam kejohanan di pentas antarabangsa.

Aaron-Wooi Yik yang hadir ke New Delhi untuk penampilan terakhir bersama selepas beberapa bulan dipecah ganding dengan pasangan baharu, mempamerkan peningkatan prestasi ketara walaupun hanya memiliki dua minggu membuat persediaan sebelum ke India.

Esok, mereka buat kali kedua melangkah ke perlawanan akhir dan mampukah Aaron-Wooi Yik mengulangi pencapaian yang pernah dilakar pada edisi 2022 di Tokyo, Jepun?

Seandainya mereka berjaya berbuat demikian, beregu itu sekali lagi akan mencipta sejarah muncul beregu lelaki Malaysia pertama menjuarai Kejohanan Dunia sebanyak dua kali.

Selain pernah dinobatkan sebagai juara dunia, Aaron-Wooi Yik juga telahpun mengumpul dua pingat gangsa pada kejohanan berprestij itu.

Dalam perlawanan akhir, esok, Aaron-Wooi Yik akan berdepan sama ada beregu No. 3 dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China atau gandingan Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan yang menghuni ranking ke-17 dunia.

Seandainya Wei Keng-Wang Chang yang menjadi lawan, Aaron-Wooi Yik tidak mempunyai rekod pertemuan yang baik apabila tewas sebanyak 11 kali berbalas tiga kemenangan.

Bagaimanapun, sekiranya pasangan Taiwan yang menanti mereka di pentas akhir, maka, kelebihan psikologi berpihak kepada Aaron-Wooi Yik yang memiliki rekod pertemuan 5-0 ke atas beregu tersebut. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top