Ahli Parlimen Bukit Mertajam yang juga Menteri Sumber Manusia dan Koperasi (KUSKOP), Steven Sim Chee Keong menggesa supaya perhimpunan ‘Ops Terjah’ yang dirancang di sebuah kuil Hindu berhampiran Hospital Bukit Mertajam pada 7 Mac ini dibatalkan serta-merta.
Steven Sim gesa pehimpunan tersebut dibatalkan
Menerusi kenyataan di Facebook, beliau memaklumkan telah menerima maklumat mengenai satu hantaran di Facebook berhubung demonstrasi berkenaan dan memandang serius perkara itu kerana berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
“Malaysia sebuah negara dengan masyarakat yang majmuk. Mana-mana pihak pun tak perlu jadi wira sentimen agama dan kaum,” katanya.

Steven Sim tegas provokasi berhimpun tak bantu selesai masalah
Menurut beliau, sebarang bentuk provokasi berbentuk perhimpunan di rumah ibadat bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan isu berbangkit, malah boleh mengeruhkan keadaan.
“Provokasi berhimpun seperti ini tak membantu untuk menyelesaikan masalah negara, malah mengapi-apikan kebencian yang boleh memusnahkan negara,” tegasnya.

Sim turut menegaskan komitmennya untuk mempertahankan hak semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Saya masuk politik membela hak semua rakyat Malaysia tak kira kaum dan agama. Orang Islam saya jaga, orang bukan Islam saya jaga. Saya tak akan biarkan mana-mana rakyat Malaysia diugut dan dibuli,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penganjur membatalkan perhimpunan berkenaan serta menghentikan sebarang bentuk provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara.
“Batalkan perhimpunan, hentikan provokasi, jangan buat huru hara,” katanya lagi.

Artikel lain: “Apabila al-Quran dipijak, diam bukanlah satu pilihan” -Titah Sultan Pahang
Dalam masa sama, beliau memaklumkan telah meminta Polis Diraja Malaysia memantau keadaan bagi memastikan tiada perhimpunan provokatif diadakan oleh mana-mana pihak di kawasan berkenaan.





