Saya tolong pergi bangunkan Kedah, kamu hentam saya pula -PM Anwar selar Sanusi

Saya tolong pergi bangunkan Kedah, kamu hentam saya pula -PM Anwar selar Sanusi


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyindir Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas mendakwa beliau dikritik walaupun sedang berusaha membawa pembangunan ke negeri itu.

Dah bantu tapi hentam

Memetik laporan daripada Berita Harian, Anwar menyatakan, beliau baru sahaja mengadakan lawatan kerja ke Kedah bersama Timbalan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul bagi memperkukuh pembangunan di kawasan sempadan, namun kecewa apabila Sanusi terus menyerangnya ketika berada di Johor.

“Pagi tadi saya pergi ke Alor Setar sampai Bukit Kayu Hitam. Saya pergi tolong bangunkan Kedah.
“Kemudian saya baca (di) media, Menteri Besar Kedah, Sanusi, dia ada di Johor dan hentam saya.
“Eh, aku pergi tolong kamu di negeri Kedah tahu tak? Apa jenis macam ini?
“Dahlah tak datang, kita bawa Perdana Menteri Thailand (lagi).
“Ingat senang nak bawa Perdana Menteri Thailand bukan di Kuala Lumpur (tetapi) di belah hulu sana. Kenapa?
“Kita nak tolong rakyat di bawah,” katanya semasa berucap di Grand Finale Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, hari ini.

Terdahulu, Sanusi mendakwa Anwar seolah-olah menganggap semua negeri bergantung kepada Kerajaan Persekutuan selepas memegang tampuk pentadbiran negara.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan diwujudkan hasil persetujuan negeri-negeri melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948, Perjanjian Kemerdekaan 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.

 

Mengulas lanjut, Anwar menegaskan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri adalah membangunkan semua negeri tanpa mengira parti yang mentadbir.

“Kalau kita tumpu satu kawasan, negara tak maju keseluruhannya. Disebabkan itu saya pergi (menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan dan Pengoperasian Laluan Baharu).

“Tujuannya apa? Kita nak Malaysia semua (kawasan) dibangunkan. Padahal Kedah negeri PAS yang menang.

“Tapi saya tak, saya kira tanggungjawab. Saya mahu membantu rakyat dan saya mahu membantu Malaysia,” katanya.

Dalam ucapannya, Anwar turut mendakwa Pakatan Harapan (PH) berdepan gabungan besar pada PRN Johor apabila parti-parti lawan dilihat bersatu untuk menentang gabungan tersebut.

“Tengok PH..semua ‘geng up’ (bergabung) melawan kita satu. PAS pun takpa, padahal PAS dengan UMNO lawan (dan) lawan, tapi asalkan bukan Anwar-PH, PAS kata UMNO pun kita boleh sokong,” katanya.

Sumber: Harian Metro (Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid)





Source link

OR

Scroll to Top