Tukar status Islam dalam Perlembagaan, PM kata pembangkang berkhayal

Tukar status Islam dalam Perlembagaan, PM kata pembangkang berkhayal


IPOH – Kerajaan tidak pernah membincangkan perkara asas dalam Perlembagaan termasuk yang menyentuh soal kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan pihak pembangkang itu disifatkan sebagai suatu khayalan di samping hanya membawa kepada kebencian masyarakat berdasarkan kepada pemalsuan fakta.

Katanya, kerajaan baik di Persekutuan atau negeri, tidak pernah menimbulkan sebarang perkara atau ingin mengubah kedudukan Orang Melayu dan Bumiputera, serta Raja-raja Melayu sebagaimana didakwa.

“Ada pula baru-baru ini seorang tokoh pembangkang yang guna lambang Islam mengatakan kerajaan ini akan meninggalkan landasan, akan menukar prinsip perlembagaan Islam sebagai Agama Persekutuan. Ini khalayan apa?

“Jadi mimpi apa ni? mimpi ngeri, mimpi palsu, mimpi hasad dengki kerana kejayaan kita. Jadi saya hendak ingatkan, baik soal bahasa, soal agama dan soal hak keistimewaan Melayu Bumiputera, soal raja-raja tidak pernah dipertikai.

“Ini disebutkan kita tidak mahu, keangkuhan, kezaliman dan tirani di kalangan penghasut, pengganas, kelompok-kelompok yang gunakan suara kebencian, permusuhan dan menggunakan payung agama, atau bangsa dengan menipu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC) dekat sini, pada Ahad.

Antara hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr Hazami Jahari.

Tambah Anwar, beliau secara peribadi mengambil sikap terbuka untuk menerima sebarang kritikan namun ia seharusnya tidak bersandarkan kepada fitnah.

Tegas beliau, kerajaan sama sekali tidak mengizinkan mana-mana pihak yang dengan sengaja menimbulkan kebencian dan permusuhan dalam kalangan masyarakat ketika ini.

“Kritiklah dasar ekonomi, soal ringgit kita, kritiklah Perdana Menteri tidak bijak dalam banyak hal, tetapi tidak boleh khianat, dan dusta, fitnah.

“Dan menakut-nakutkan seolah-olah yang kita lakukan ini sudah merosak habis soal bahasa atau bangsa atau agama, atau Raja-raja Melayu.

“Walaupun dikatakan kita ini sudah tidak demokratik dan zalim kerana tidak boleh bercakap tiga R (bangsa, agama, raja), termasuk soal bahasa, bangsa, agama atau Raja-raja, boleh. Yang tidak diizinkan itu hasut, kebencian dan permusuhan antara satu sama lain,” katanya lagi. – MG Perak



Source link

OR

Scroll to Top