sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie muncul wakil tunggal Malaysia yang masih mengibarkan cabaran dalam acara itu di Seluruh England selepas mara ke pusingan kedua, hari ini.
Pasangan ranking ke-11 dunia itu menewaskan gandingan tuan rumah, Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen, 21-14, 21-12 dalam tempoh 39 minit di Arena Birmingham.
Pada penampilan kesembilan berturut-turut mereka di kejohanan itu, pasangan suami isteri berkenaan bangkit selepas ketinggalan 1-7 pada set pertama sebelum kembali menguasai permainan untuk menang secara straight set.
Soon Huat-Shevon kini menjadi sandaran negara selepas empat lagi wakil Malaysia tersingkir di pusingan pertama termasuk juara dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
Bagaimanapun, mereka berdepan ujian getir pada pusingan kedua apabila dijadual menentang pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin, yang memegang rekod sembilan kemenangan daripada 10 pertemuan ke atas pasangan negara.
Sementara itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen, 21-17, 21-16.
Wei Chong-Kai Wun dijadual bertemu satu lagi beregu Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin, yang menyingkirkan pasangan negara, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong 21-18, 21-14.
Dalam pada itu, satu lagi beregu campuran profesional negara Wong Tien Chi-Lim Chiew Sien terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada pasangan China, Guo Xin Wa-Cheng Fang Hui 21-17, 12-21, 9-21.
© New Straits Times Press (M) Bhd






