Penyanyi, Marsha Milan Londoh mendedahkan dirinya berdepan masalah paru-paru lemah yang memberi kesan besar terhadap tahap kesihatan serta perjalanan kerjaya seninya sepanjang tahun lalu.
Menurut Marsha, masalah kesihatan itu mula disedari selepas dia dijangkiti Covid-19 buat pertama kali, sekali gus menyebabkan tubuhnya menjadi lebih mudah jatuh sakit dan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih setiap kali demam atau batuk.
Marsha yang kini berusia 40 tahun berkata, tahun lalu antara tempoh paling mencabar yang pernah dilaluinya.
“Saya ada masalah paru-paru lemah. Selepas itu, setiap kali demam atau batuk, saya ambil masa sangat lama untuk pulih.
“Tahun lepas memang sangat menduga. Saya melalui beberapa episod demam dan batuk berpanjangan,” katanya ketika ditemui media.
Menurut Marsha, keadaan menjadi lebih teruk apabila dia dijangkiti influenza sekitar Oktober hingga November tahun lalu sehingga mengambil masa hampir dua bulan untuk kembali pulih sepenuhnya.

Akibat masalah kesihatan itu juga, Marsha terpaksa menangguhkan beberapa komitmen kerja, namun ada juga persembahan yang diteruskan meskipun dalam keadaan tidak sihat.
“Ada beberapa rakaman yang terpaksa ditangguhkan dan ada juga persembahan yang saya terpaksa batalkan.
“Tapi pada masa sama, ada juga kerja yang saya teruskan walaupun masih batuk dan demam.
“Saya cuba buat yang terbaik. Saya ambil vaksin, kerap jumpa doktor pakar dan ikut nasihat mereka.
“Malah saya juga terpaksa ambil steroid walaupun ada yang tidak menggalakkan, tapi ketika itu saya memang perlu,” jelasnya.
Tambah Marsha, pengalaman melalui masalah kesihatan yang berpanjangan itu membuatkan dia kini lebih berhati-hati dalam menjaga kesihatan diri.
“Saya juga sudah ubah cara pemakanan, elak makanan berminyak atau pedas. Selain itu saya juga perlu kerap membuat pemeriksaan supaya keadaan paru-paru sentiasa dipantau,” katanya.





