WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengumumkan kerjasama dengan Ecuador untuk memerangi pengganas di negara Amerika Selatan itu.
Kelmarin, Marksa Selatan AS, unit tentera yang menyelia operasi di Amerika Tengah dan Selatan, memaklumkan usaha bersama itu telah pun dimulakan di Ecuador.
“Pada 3 Mac, pasukan tentera Ecuador dan AS melancarkan operasi terhadap Organisasi Pengganas yang Ditetapkan di Ecuador.
“Operasi ini merupakan contoh komitmen rakan kongsi di Amerika Latin dan Caribbean untuk memerangi bencana keganasan narkotik,” kata Jeneral Francis Donovan dari tentera AS.
Kenyataan itu disertakan dengan ramakan video helikopter tentera berlepas dan imej pengawasan udara hitam putih yang memaparkan individu menaiki helikopter di darat.
Pengumuman itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha meluas Presiden Donald Trump menentang rangkaian jenayah dan kartel dadah di Amerika Latin.
Memetik sumber kerajaan, skop operasi Ecuador masih belum diketahui, tetapi beberapa media AS melaporkan setakat ini. ia terhad kepada menyokong tentera Ecuador melalui logistik dan risikan.
Dalam sidang media kelmarin, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, memuji operasi bersama itu.
“Bersama-sama, kita mengambil tindakan tegas untuk berhadapan dengan pengganas yang sekian lama menimbulkan keganasan dan rasuah ke atas rakyat di seluruh hemisfera,” katanya kepada pemberita.
Sejak memegang jawatan untuk penggal kedua tahun lalu, Trump mengambil langkah untuk melabel beberapa kartel terkenal sebagai organisasi pengganas asing, istilah biasa digunakan untuk kumpulan bersenjata yang mempunyai matlamat politik.
Pentadbirannya menggabungkan label tersebut dengan pendekatan yang semakin ketenteraan dalam membanteras pengedaran dadah, termasuk melalui pengeboman kapal disyaki terlibat dalam penyeludupan.- AL JAZEERA






