Juadah sedekah sepanjang Ramadan beri kelegaan

Juadah sedekah sepanjang Ramadan beri kelegaan


am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Setiap hari sepanjang Ramadan memberi kelegaan buat Nurul Aini Mat Amin dan suami serta empat anaknya apabila berpeluang menikmati juadah makanan yang sedap.

Dalam tempoh 30 hari itu mereka yang berstatus asnaf memperoleh lauk yang disedekah sama ada dari orang perseorangan atau badan bukan kerajaan (NGO).

Nurul Aini, 39, yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sini, berkata, setiap hari, mereka sekeluarga akan ke Taman Hijau, di sini, yang menjadi lokasi tetap agihan juadah berbuka puasa kepada asnaf serta gelandangan.

“Sebaik mendapat juadah, kami enam beranak akan ke perkarangan Masjid Jamek Muhammadi untuk berbuka puasa dan di sana pun turut disediakan makanan percuma.

“Saya juga tersenarai sebagai penerima lauk percuma dari sebuah NGO dan setiap hari akan ke rumah asnaf itu terlebih dahulu untuk mendapatkan lauk berkenaan dan dijadikan juadah sahur.

“Begitulah rutin sepanjang Ramadan dan hanya cara itu sahaja mampu untuk kami menikmati juadah berbuka puasa dan sahur yang lengkap serta lauk yang sedap,” katanya ketika ditemui di sini.

Nurul Aini berkata, dia ada juga menghasilkan kuih-muih yang diletakkan di dua gerai bagi meringankan beban suaminya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini.

Bagaimanapun kekangan kewangan tetap dihadapi demi kelangsungan hidup termasuk perbelanjaan tiga anak yang bersekolah malah bayaran bulanan untuk kediaman mereka juga sudah lebih setahun tertunggak.

“Kami sudah menerima surat amaran dan buntu memikirkan bagaimana lagi cara untuk mencari wang bagi membayarnya walaupun hanya RM225 sahaja sebulan.

“Persediaan Aidilfitri memang langsung tidak difikirkan dan jika ada yang tahu keadaan kami, dapatlah anak-anak merasa pakai pakaian baharu sepasang setiap orang dan kalau tidak, entahlah…pernah juga mereka pakai baju harian di hari raya,” katanya yang boleh dihubungi di talian 014-2238994.

Terdahulu Nurul Aini menerima sumbangan bakul makanan serta makanan bermasak sempena Program Seindah Kasih Ramadan yang dianjurkan Food Aid Foundation (FAF) Kota Bharu dengan kerjasama NGO Baitul Hayati.

Sementara itu, Pengurus FAF Kota Bharu, Norita Ali berkata, seramai 100 asnaf di sekitar Kota Bharu menerima manfaat dan selain hadir sendiri ke lokasi agihan, pihaknya turut turun padang mengagihkan dari rumah ke rumah.

“Bantuan sebegini setiap tahun dibuat dan kami menerima kolaborasi dari pelbagai pihak untuk memasak juadah kepada asnaf sebelum diagihkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top