LOS ANGELES: Penyanyi, Pink, 46, menepis khabar angin yang kononnya dia telah berpisah dengan suaminya, Carey Heart.
Lapor portal Pagesix, Pink atau nama sebenarnya Alecia Beth Moore dalam kenyataan memaklumkan dia tidak tahu menahu berhubung spekulasi tersebut sekali gus menyindir pembawa cerita berkenaan.
“Saya dimaklumkan yang saya sudah bercerai. Saya tidak tahu mengenainya.
“Terima kasih kerana memaklumkan saya tentang perkara ini. Adakah anda juga merancang untuk memberitahu anak-anak saya, yang masing-masing berusia 14 dan 9 tahun mengenai khabar angin ini?
“Atau anda lebih berminat untuk berkongsi tentang berita sahih, seperti fail Epstein, perkauman bersistem, prasangka terhadap wanita dalam dunia sukan atau betapa berkelasnya pasukan hoki wanita kebangsaan kita?” Katanya menerusi video yang dimuat naik dalam Instagram.
Spekulasi mengenai perceraian penyanyi lagu Who Knew ini bertebaran susulan perpindahannya dari New York ke California.
Dalam perkembangan lain, Pink juga bertindak membatalkan dua konsert yang dijadualkan berlangsung di Mexico City pada 26 dan 27 April ini.
Pemberitahuan itu dimaklumkan wakil penganjur menerusi satu kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial.
“Duka cita dimaklumkan konsert Pink yang dijadualkan berlangsung di Estadio GNP Seguros pada 26 dan 27 April ini, dibatalkan.
“Keputusan ini dibuat berikutan komplikasi yang berlaku susulan perkara yang tidak dapat dielakkan, sekaligus menjejaskan pengurusan logistik. Perkara ini adalah diluar bidang kuasa artis, penganjur dan pihak pengurusan lokasi,” katanya.






