Perancis mahu Olise bebas hukuman

Perancis mahu Olise bebas hukuman


Paris: Perancis mengemukakan rayuan rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi membatalkan kad kuning yang diterima penyerangnya, Michael Olise ketika aksi pusingan 16 terbaik menentang Paraguay.

Menurut laporan The Athletic, Olise dilayangkan kad kuning selepas berlaku pertengkaran dengan pemain tengah Paraguay, Matias Galarza yang terjatuh sambil memegang mukanya.

Bagaimanapun, rakaman televisyen menunjukkan Olise hanya menarik jersi Galarza dan tidak melakukan sebarang sentuhan pada bahagian muka lawannya.

Perancis dijadual bertemu Maghribi pada aksi suku akhir di Foxborough, Massachusetts, Jumaat ini.

Sekiranya Olise menerima satu lagi kad kuning dalam perlawanan itu, dia akan digantung secara automatik daripada aksi separuh akhir sekiranya Perancis mara.

Rayuan Perancis dibuat beberapa hari selepas FIFA menerima rayuan Amerika Syarikat (AS) berhubung kad merah penyerangnya, Folarin Balogun, sekali gus membenarkan pemain itu beraksi semula pada pusingan 16 terbaik menentang Belgium.

Keputusan FIFA menggantung hukuman Balogun sebelum ini mencetuskan pelbagai reaksi kerana ia dilihat bercanggah dengan prosedur biasa badan induk bola sepak dunia itu.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan rayuan Perancis tidak dipengaruhi oleh kejayaan AS dalam kes Balogun, sebaliknya dibuat berdasarkan bukti video yang menunjukkan Olise tidak melakukan kekasaran seperti yang disangka pengadil.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top