Les Angles: Juara bertahan, Tadej Pogacar merampas jersi kuning selaku pendahulu keseluruhan Tour de France (TdF) selepas menjuarai peringkat ketiga perlumbaan itu, hari ini.
Juara dunia dari Slovenia itu menamatkan perlumbaan sejauh 196 kilometer (km) dari Granollers, Sepanyol ke Les Angles di Banjaran Pyrenees, Perancis, dua saat di depan pencabar utamanya, Jonas Vingegaard.
Walaupun kedua-dua pelumba berkongsi catatan masa keseluruhan yang sama, Pogacar mengambil alih kedudukan pendahulu menerusi kelebihan kedudukan penamat lebih baik dalam tiga peringkat pertama.
Selain itu, Pogacar turut mengutip empat saat (s) bonus tambahan sekali gus memadam defisit 6s yang dimilikinya pada permulaan peringkat ketiga.
Bekas juara Giro d’Italia, Richard Carapaz menamatkan perlumbaan di tempat ketiga selepas memintas pelumba muda sensasi Perancis, Paul Seixas, dengan kedua-duanya berkongsi masa yang sama seperti Vingegaard.
Walaupun penganjur menggesa penyokong tidak memenuhi laluan perlumbaan susulan kebakaran hutan yang berlaku kira-kira 70km dari garisan penamat, ribuan peminat tetap membanjiri tepi jalan bagi memberikan sokongan kepada pelumba.
Juara Olimpik, Remco Evenepoel menamatkan perlumbaan di tempat kelapan, empat saat di belakang Pogacar dan kekal di tangga ketiga keseluruhan, namun kini ketinggalan 23s di belakang pendahulu.
Pemenang peringkat kedua, Isaac Del Toro berada di tangga keempat keseluruhan dengan ketinggalan 24s, diikuti Juan Ayuso (27s) dan Seixas (48s) untuk melengkapkan kelompok enam terbaik.
Selepas memberi peluang rakan sepasukannya dari UAE Team Emirates-XRG, Del Toro memenangi peringkat kedua di Bukit Montjuic, Barcelona semalam, pelumba Mexico itu kali ini bertindak sebagai pelumba pendahulu sebelum Pogacar memecut menuju kemenangan.
Kemenangan bergaya itu membuktikan Pogacar bukan saja memburu kemenangan peringkat, malah sudah mula memperlihatkan hasrat jelas untuk mempertahankan gelaran TdF dengan menguasai jersi kuning seawal peringkat ketiga.
© New Straits Times Press (M) Bhd






