Berjaya bersaing selain atasi bahasa lagu perkara yang bukan kebiasaan

Berjaya bersaing selain atasi bahasa lagu perkara yang bukan kebiasaan


syafil.syazwan@hmetro.com.my

PENYANYI berdarah kacukan Malaysia-Filipina, Yazmin Aziz terus melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya meloloskan diri ke pentas akhir program realiti popular, Singer Malaysia yang melabuhkan tirai, Sabtu lalu.

Walaupun tidak bergelar juara, ia membuktikan kebolehan luar biasa anak muda ini, apatah lagi dia terpaksa bersaing hebat dalam bahasa Mandarin yang bukan menjadi kebiasaan buat dirinya.

Ditanya mengenai rahsia kejayaan itu, Yazmin mengakui faktor bahasa menjadi tembok terbesar yang perlu diruntuhkan sepanjang pertandingan.

“Saya sangat bersyukur berada di peringkat akhir. Secara jujurnya, cabaran terbesar saya adalah masalah bahasa. Saya bukan penutur Mandarin, jadi saya memang bekerja lebih keras untuk memahami sebutan, maksud setiap lirik dan emosi di sebalik lagu.

“Menyampaikan cerita di sebalik lagu penting bagi saya, jadi saya memang betul-betul ambil masa untuk fahamkan maksud di sebalik lagu,” katanya.

Bagi memastikan impak persembahannya sampai ke lubuk hati penonton, Yazmin memperuntukkan masa lama untuk mendalami bait lirik dengan bantuan rakan terdekat dan guru vokal.

“Saya banyak bertanya kepada kawan rapat yang fasih bahasa Mandarin, guru vokal dan berlatih berulang kali. Saya percaya usaha boleh mengatasi kekurangan dan saya harap penonton dapat merasakan keikhlasan itu.

“Saya juga menari, yang saya jarang buat di atas pentas, jadi itu pun salah satu cabaran bagi saya,” katanya.

Berkongsi teknik menjiwai lagu berbahasa Mandarin, Yazmin menjelaskan dia meletakkan emosi mengatasi segala-galanya.

“Bagi saya, bahasa adalah medium, tetapi emosi tetap universal. Untuk memudahkan cabaran, tak kira bahasa apa yang dinyanyikan, saya akan terjemah setiap lirik ke bahasa yang saya lebih faham.

“Kemudian saya akan bertanya mengenai maksud di sebalik lirik dan cuba kaitkan dengan pengalaman sendiri. Bila saya faham ceritanya, saya rasa penyampaian saya lebih ikhlas.

“Lagu Mandarin adalah bahasa kelapan yang saya nyanyikan di atas pentas,” katanya.

Pada pentas akhir, Yazmin membawa kejutan dan kelainan buat peminat yang sentiasa memberikan sokongan moral.

“Pada pentas akhir, saya mempersembahkan sisi diri yang belum pernah penonton lihat sebelum ini iaitu menyanyi dalam Bahasa Mandarin sambil menari.

“Saya mahu membuktikan bahawa kekuatan seseorang penyanyi bukan hanya pada nota tinggi, tetapi juga pada kemampuan menyampaikan emosi.

“Lagu kedua pula, saya membawa lagu (milik) Adele yang kerap dikaitkan dengan suara saya. Saya harap persembahan ini meninggalkan kesan yang baik,” katanya.

Di samping kehangatan Singer Malaysia, rezeki Yazmin terus melimpah-ruah apabila menerima jemputan peribadi daripada penyanyi terkenal Mongolia, Bayartsengel untuk membuat persembahan di ARA Fest 2026 selepas persembahannya menerusi lagu Chigi Tigi Boom di Kazakhstan pada tahun lalu, tular.

“Saya sangat terharu dan tidak menyangka persembahan dalam Bahasa Mongolia di Kazakhstan membuka peluang ini. Saya percaya apabila kita menghormati budaya dan memberikan yang terbaik, orang akan menghargai usaha itu.

“Walaupun sebutan saya kurang tepat dan dikatakan agak lawak kerana membawa maksud lain, warga Mongolia mengaku bahasa mereka tidak mudah. Jemputan ini sangat bermakna kerana ia membuktikan muzik memang universal,” katanya.

Bakal berkongsi pentas dengan Bayartsengel dan juara Silk Way Star 2025, Michelle Joseph, Yazmin membayangkan kemungkinan berkolaborasi yang kini masih dalam perbincangan.

Walaupun berhadapan jadual padat sehingga terpaksa terus berlepas ke Mongolia sejurus selepas pentas akhir selesai tanpa cuti rehat panjang, Yazmin optimis menguruskan tekanan fizikal dan mentalnya melalui disiplin tinggi.

“Memang mencabar, tetapi saya bersyukur dapat melakukan perkara yang saya paling cintai. Satu matlamat pada satu-satu masa agar tidak terlalu memikirkan jadual yang ketat.

“Dengan bantuan ibu, saya merancang jadual sebaik mungkin supaya ada masa berlatih, rehat dan aktif di gimnasium. Bagi saya, setiap peluang itu peluang keemasan,” katanya.

Sebagai anak seni yang bangga membawa nama Malaysia ke persada dunia, Yazmin berharap kisah perjalanannya mampu menyuntik inspirasi kepada anak muda tempatan agar berani keluar dari zon selesa.

“Jika mempunyai bakat, asahlah bakat itu. Jadilah seorang penyanyi yang berilmu kerana proses pembelajaran tidak pernah berhenti.

“Jangan sesekali biarkan orang lain menentukan nilai diri anda. Jangan mudah percaya apabila ada yang mengatakan suara tak cukup bagus. Memang menakutkan, tetapi setiap cabaran mengajar saya sesuatu yang baru.

“Secara jujurnya, tidak perlu sempurna kerana peluang yang paling mengubah hidup saya datang daripada cabaran yang paling saya takuti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top