Pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada selepas mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba memperdayakan orang ramai dengan menggunakan namanya.
Menerusi perkongsian di Threads, Aming menyedari kewujudan satu akaun mencurigakan yang dipercayai cuba menipu pengguna di media sosial dengan menyamar sebagai dirinya.
“Baru reply dua saat dah delete. Tolong berhati-hati semua,” katanya.

Tambahnya, orang ramai tidak seharusnya mudah mempercayai mesej atau tawaran yang dibuat daripada mana-mana akaun yang tidak dikenali, apatah lagi ketika isu penipuan melibatkan jenama restoran miliknya, Rembayung yang masih belum selesai sepenuhnya.
“Jangan mudah percaya dengan scammers ni. Isu scammer Rembayung belum habis, ni tambah lagi scammer touch n go,” katanya lagi.


Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berharap lebih ramai pengguna media sosial berhati-hati dengan taktik penipuan yang semakin berleluasa selain meminta pengikut Aming membuat ‘report’ terhadap akaun berkenaan.








