Usahawan selebriti terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri tampil dengan sebuah filem pendek raya berjudul ‘Ya, Abah Saya Security’ yang diinspirasikan daripada kisah hidupnya sendiri bersama arwah bapanya yang pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Filem pendek tersebut memperlihatkan sisi lebih peribadi Aliff apabila mengangkat perjalanan emosi seorang anak yang suatu ketika dahulu pernah berasa segan dengan pekerjaan ayahnya.
Namun, seiring pertambahan usia dan pengalaman hidup, dia akhirnya memahami bahawa di sebalik uniform sederhana itu tersimpan pengorbanan besar seorang ayah yang bekerja keras demi masa depan anak-anak.
@xtra_my Sebak dengar perkongsian Datuk Seri Aliff Syukri mengenai bapanya 😭Aliff berkongsi kisah sebenar dia dan bapanya dalam filem pendek berjudul ‘Ya, Abah Saya Security’ istimewa sempena Syawal 2026. Sedihnya 🥹 #xtramy #xtratonton ♬ original sound – XTRA
Karya berkenaan dilihat cukup dekat dengan diri Aliff kerana ia bukan sekadar naskhah sempena Aidilfitri, sebaliknya menjadi medium untuk dia menzahirkan penghargaan terhadap arwah bapanya yang banyak berkorban dalam membesarkan keluarga.
Menurut Aliff, filem pendek itu lahir daripada rasa insaf dan kesedaran yang hadir apabila seseorang anak semakin dewasa.
“Bila kita masih kecil, kadang-kadang kita belum faham pengorbanan ibu bapa. Waktu itu kita lebih fikir tentang diri sendiri. Saya pernah malu ada bapa bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Tetapi bila kita dah besar, barulah kita nampak betapa besarnya pengorbanan mereka. Kisah ini memang sangat dekat dengan hati saya dan saya harap ia boleh menyentuh perasaan ramai orang di luar sana,” katanya.
Menerusi penceritaan yang sarat dengan nilai kasih sayang, pengorbanan dan penghormatan terhadap ibu bapa, Ya, Abah Saya Security membawa mesej yang cukup dekat dengan kehidupan masyarakat, khususnya ketika menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Jujurnya, kalau anda ada ibu ayah yang susah, pasti anda akan merasakan sesuatu. Bagi saya, filem pendek ini saya hasilkan bukan untuk duit. Saya mahu memberi inspirasi kepada semua dan saya mahu dedikasikan filem pendek ini kepada arwah bapa saya serta saya mahu memberikan pengajaran kepada orang lain.
“Jangan malu dengan ibu bapa anda, duit mereka yang membesarkan anda seperti sekarang.Umur saya pun menjengah 40-an, saya perlu memberi impak baik kepada masyarakat,” katanya lagi.

Melalui naskhah itu, Aliff berharap mesej yang ingin disampaikan dapat membuka hati masyarakat untuk lebih menghargai ibu bapa dan insan tersayang selagi mereka masih ada di sisi.
Filem pendek ‘Ya, Abah Saya Security’ akan diperkenalkan kepada umum menerusi platform digital rasmi D’Herbs pada 12 Mac 2026.






