Dituduh pukul isteri guna botol deodoran

Dituduh pukul isteri guna botol deodoran


am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang pemandu lori dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, tadi, atas tuduhan mencederakan isteri menggunakan botol deodoran serta menampar muka mangsa gara-gara pengecas telefon rosak.

Tertuduh, Ahmad Tajul Kushri Ahmad Tajul Ariffin, 48, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa mencederakan isterinya berusia 44 tahun di sebuah rumah di Peserai, di sini, jam 5 petang, 6 Mac lalu.

Seksyen 323 memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya manakala Seksyen 326A, penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang dikenakan atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323.

Mengikut laporan, tertuduh berselisih faham dengan isterinya kerana menuduh mangsa tidak menjaga anak dengan baik selain menyebabkan barangan rosak termasuk pengecas telefon.

Tertuduh kemudian memukul mangsa menggunakan botol deodoran serta menampar muka mangsa. Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera dan mengalami masalah pendengaran akibat dihentak dengan botol kaca.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK).

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 serta memerintahkannya melapor diri di balai polis berhampiran tiga minggu sekali.

Kes disebut semula 5 Mei untuk serahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top