BEKAS bintang Chelsea, John Obi Mikel menyifatkan Arsenal tidak layak diiktiraf sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana mendakwa kelab itu bergantung kepada taktik yang merosakkan bola sepak.
Bekas bintang Chelsea, John Obi Mikel melancarkan serangan ‘pedas’ terhadap Arsenal dengan melabel pasukan itu sebagai ‘penipu’ yang mempamerkan corak permainan yang tidak layak untuk diiktiraf sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL).
Malah, Mikel mendakwa pengurus The Gunners, Mikel Arteta, telah mensia-siakan bakat terbaik pasukan itu.
Mikel, yang pernah menjulang dua trofi EPL bersama Chelsea, turut menyifatkan permainan Arsenal sebagai mengarut dan bermain dengan sangat teruk dalam satu perbincangan panas menerusi stesen radio talkSPORT.
Musim ini, Arsenal telah meledak 21 gol menerusi situasi bola mati (set-piece) dalam saingan liga, lebih banyak berbanding mana-mana pasukan lain. Menurut laman web rasmi mereka, hanya 35 daripada 100 gol dalam semua pertandingan terhasil menerusi permainan terbuka.
“Bila saya tonton Arsenal bermain sekarang, mereka hanya bergantung sepenuhnya kepada sepakan penjuru. Anda telah berbelanja hampir £1 bilion, Mikel Arteta. Dan anda beritahu saya satu-satunya cara untuk anda menang perlawanan adalah menerusi sepakan penjuru? Ia mengarut… mereka menang dengan corak yang hodoh.
“Satu-satunya sebab penyokong Arsenal tidak merungut dengan gaya bola sepak yang dipamerkan adalah kerana mereka berada di persada liga. Jika tidak, mereka pasti akan bising kerana tidak terhibur dengan corak permainan itu. Anda lihat sahaja pemain-pemain ini ketika sepakan penjuru.
“Kreativiti dan potensi yang mereka ada, semuanya sudah hilang. Kita tidak lagi melihat sentuhan ajaib pemain seperti Saka, Martinelli, Eze dan Odegaard. Kita sudah tidak nampak semua itu kerana mereka terlalu bergantung kepada sepakan penjuru,” katanya.
Mengulas lanjut mengapa taktik itu dianggap salah, Mikel menambah: “Bagi saya, setiap kali mereka mengambil sepakan penjuru atau situasi bola mati, apa yang mereka lakukan adalah tidak sepatutnya. Pertama, mereka menghalang penjaga gol dan mula memegang pemain lawan.
Dia turut memberikan contoh insiden membabitkan kelab lamanya, Chelsea.
“Bila anda memegang dan menghalang pemain daripada melompat, ia salah. Saya tonton perlawanan menentang Chelsea. Declan Rice memegang pertahanan kiri, (Jorrel) Hato sehingga dia tidak boleh melompat.
“Bagi saya, bagaimana pengadil tidak nampak perkara itu? Walaupun bola masuk, bagaimana VAR (Video Bantuan Pengadil) tidak menyedarinya? PGMOL perlu tampil dan hentikan perkara ini segera kerana jika tidak, banyak lagi pasukan yang akan mula meniru taktik ini.
“Sebab itu saya maksudkan Arsenal cuba menipu jalan mereka untuk memenangi Liga Perdana Inggeris,” katanya.
Arsenal bukanlah satu-satunya pasukan yang dikritik kerana gaya permainan fizikal ketika situasi bola mati, malah ia kini menjadi isu hangat dalam saingan liga tersebut.
Bulan lalu, Everton turut dikritik kerana didakwa mengasak penjaga gol Manchester United, Senne Lammens ketika sepakan penjuru.
Pengurus Liverpool, Arne Slot baru-baru ini mendakwa kebanyakan perlawanan kini ‘tidak lagi menyeronokkan untuk ditonton’, manakala pengendali West Ham, Nuno Espirito Santo menyifatkan situasi bola mati masa kini sebagai ‘benar-benar gila’ dan menggesa penilaian semula dilakukan.
Untuk rekod, EPL menyaksikan peratusan gol dari situasi bola mati yang lebih tinggi berbanding mana-mana lima liga utama Eropah musim ini.
Arsenal ketika ini mendahului Manchester City dengan kelebihan tujuh mata, setelah bermain lebih satu perlawanan, dan saingan hanya berbaki lapan aksi.
Namun, ketika ditanya sama ada dia akan mengiktiraf Arsenal sebagai juara Liga Perdana Inggeris, Mikel bertegas: “Tidak jika mereka menang dengan corak permainan seperti sekarang. Bagi saya ia satu penipuan.
“Saya tidak akan iktiraf mereka sebagai pemenang kerana bagi saya cara mereka memenangi perlawanan adalah haram.
“Kita tidak mahu melihat perkara ini dalam bola sepak melainkan pihak penganjur campur tangan menghapuskannya bermula minggu ini,” katanya.




