am@hmetro.com.my
Arau: Jawatankuasa Kariah Masjid di negeri ini, digalakkan melaksanakan ibadah solat Aidilfitri di kawasan tanah lapang (musolla) yang selaras dengan sunnah Rasulullah.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pelaksanaan solat Aidilfitri diselaraskan bermula jam 7.45 pagi sehingga 8.15 pagi, bergantung kepada keputusan yang dipilih jawatankuasa kariah masing-masing.
Baginda bertitah, jawatankuasa kariah juga perlu menetapkan pemilihan tanah lapang berkenaan dan memastikan hebahan berkaitan waktu solat yang dipilih dilaksanakan sebaiknya untuk penyelarasan kepada ahli kariah.
“Bagaimanapun, jawatankuasa kariah boleh mempertimbangkan penggunaan ruang dalam masjid sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada ruang, dan bilangan jemaah yang hadir.
“Bagi pelaksanaan solat Aidilfitri selain musolla yang ditentukan jawatankuasa kariah seperti surau rasmi dalam Perlis, pelaksanaannya hendaklah dirujuk kepada Jawatankuasa Kariah Masjid dan mendapat persetujuan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs),” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, solat Aidilfitri akan dilaksanakan di ruang dalam masjid kariah masing-masing pada jam 8.15 pagi.
Baginda bertitah, hebahan berkaitan perubahan lokasi dari musolla ke ruang dalam masjid perlu dimaklumkan Jawatankuasa Kariah Masjid pada jam 7.45 pagi.
“Bagi pelaksanaan solat Aidilfitri di Kariah Kota Raja Arau, solat akan dilaksanakan di Dataran Istiadat Istana Arau pada jam 8 pagi dan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan, maka solat Aidilfitri akan didirikan di ruang solat Masjid Negeri Arau.
“Pengurusan masjid hendaklah melaksanakan tatacara berkaitan pelaksanaan solat Aidilfitri seperti lafaz takbir hari raya, kaifiyat solat, khutbah hari raya dan sebagainya dengan merujuk kepada panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis,” titah baginda.
Baginda turut menasihatkan supaya jemaah membawa sejadah dan mengambil wuduk di rumah serta menjaga kesihatan dengan memakai pelitup muka bagi yang mempunyai keuzuran kesihatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






