Tujuh pemain warisan Harimau Malaya dibenarkan kembali beraksi susulan penangguhan pelaksanaan hukuman oleh CAS.
SKUAD bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya terus menerima tamparan hebat apabila ranking dunia pasukan itu terus menjunam susulan tindakan tegas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Menerusi kemas kini terbaharu FIFA menerusi data secara masa nyata, Malaysia jatuh 14 anak tangga lagi sekali gus menyaksikan skuad negara kini menghuni kedudukan ke-135 dunia.
Kejatuhan drastik ini adalah rentetan daripada hukuman berat FIFA berhubung skandal pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan tidak sah.
Terdahulu, FIFA telah membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan memberikan kemenangan percuma 0-3 kepada pasukan lawan.
Tindakan itu menyebabkan Harimau Malaya sebelum ini terkeluar daripada kelompok 120 terbaik dunia, jatuh dari tangga ke-116 ke kedudukan ke-121.
Bagaimanapun, situasi menjadi semakin parah apabila AFC turut mengambil tindakan serupa terhadap dua perlawanan Kelayakan Piala Asia ketika menentang Vietnam dan Nepal yang turut menggunakan khidmat pemain terbabit.
Keputusan AFC yang mengisytiharkan Malaysia kalah 0-3 dalam perlawanan tersebut bukan sahaja merentap mata ranking negara malah mengesahkan kegagalan Harimau Malaya untuk melayakkan diri ke saingan Piala Asia 2027.
Secara keseluruhannya, Harimau Malaya telah kehilangan 19 anak tangga dalam carta ranking FIFA gara-gara penggunaan pemain warisan tidak sah.
Ringkasan AI
- Skuad bola sepak kebangsaan, Harimau Malaya, menjunam ke tangga ke-135 dunia
- Malaysia turun 14 anak tangga dalam ranking FIFA terbaru
- Penurunan ini disebabkan oleh hukuman FIFA atas skandal pemalsuan dokumen pemain
- FIFA membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan, menyebabkan Malaysia jatuh dari tangga ke-116
- AFC turut mengisytiharkan Malaysia kalah dalam dua perlawanan Kelayakan Piala Asia, sehingga gagal ke Piala Asia 2027





