Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa kekuatan sesebuah kerajaan tidak terletak pada perbezaan politik, sebaliknya keupayaan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.
Pengalaman bekerja dengan MP Titiwangsa
Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau berkongsi pengalaman bekerjasama dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga merupakan rakan Kabinetnya dalam Kerajaan MADANI.
Menurut Hannah, walaupun UMNO hanya mempunyai satu kerusi Parlimen di Kuala Lumpur manakala Pakatan Harapan memiliki 10 kerusi, semangat mentadbir bersama sentiasa menjadi keutamaan.
“Datuk Seri Johari Abdul Ghani merupakan Ahli Parlimen Titiwangsa dan rakan Kabinet saya. Walaupun beliau satu-satunya Ahli Parlimen UMNO di Kuala Lumpur, kami hanya mempunyai satu kumpulan WhatsApp bersama semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang lain.
Tiada pengasingan,” tulisnya.
Banyak terima pandangan daripada Datuk Johari
Beliau menambah, sepanjang mengurus hal ehwal Wilayah Persekutuan, banyak pandangan Johari diambil kira termasuk berkaitan pengendalian bazar Ramadan, isu penjaja, pembangunan Kampong Bharu serta pelantikan ahli-ahli lembaga di Wilayah Persekutuan.
“Daripada pengalaman beliau, saya belajar bahawa mendengar pandangan yang berbeza sering menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk rakyat,” ujarnya.
DAP tidak menguasai
Dalam masa sama, Hannah turut menegaskan bahawa kerjasama dalam Kerajaan MADANI bukanlah soal dominasi mana-mana parti, sebaliknya menghormati dan mendengar pandangan semua pihak.
Beliau berpandangan bahawa seorang pemimpin yang kuat bukan dinilai berdasarkan siapa yang ditolak, tetapi sejauh mana kemampuan untuk bekerjasama dengan individu yang mempunyai pandangan berbeza.
“DAP tidak menguasai tetapi turut mendengar pandangan rakan-rakan dalam kerajaan. Itulah setiakawan. Itulah hormat.”
“Kerana pada akhirnya, rakyat tidak menilai sejauh mana kita berbeza. Rakyat menilai sama ada kita mampu bekerja bersama untuk menyelesaikan masalah mereka dan semuanya bermula dengan kesediaan untuk duduk semeja,” jelasnya lagi.
Sumber: Facebook Hannah Yeoh








