Pegawai pemasaran ‘putih mata’ wang pelaburan RM343,190 lesap

Pegawai pemasaran ‘putih mata’ wang pelaburan RM343,190 lesap


KULAI: Seorang pegawai pemasaran sebuah kilang berputih mata apabila kerugian RM343,190 selepas terpedaya pelaburan palsu yang menawarkan keuntungan tinggi dalam tempoh 24 jam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, mangsa yang merupakan seorang wanita berusia 46 tahun mula tertarik dengan tawaran berkenaan selepas melihat iklan mengenainya, hujung tahun lalu.

“Wanita tersebut ditawarkan keuntungan sehingga 30 peratus dalam tempoh 24 jam menerusi akaun aplikasi Shugoa Investment.

“Tertarik dengan keuntungan ditawarkan, mangsa kemudiannya membuat 13 transaksi berjumlah RM343,190 ke dalam 10 akaun bank tempatan bermula 14 September tahun lalu hingga 18 April lepas,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, mangsa pada awalnya teruja apabila melihat telah memperoleh keuntungan berjumlah RM1,500,000 menerusi notifikasi di dalam aplikasi tersebut.

“Namun, mangsa terkejut apabila mendapati akaun berkenaan telah disekat ketika dia cuba membuat pengeluaran hasil pelaburan tersebut. Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai,” katanya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan kerana menipu,” katanya. – UTUSAN



Source link

OR

Scroll to Top